DENGAN cara apa lagi yang boleh menyedarkan masyarakat di negara kita ini? Walaupun sudah dijelaskan dengan tulisan ilmiah, video dan pelbagai konsep lainnya bahawa virus ini adalah sesuatu yang benar lagi bahaya, namun masih ada juga yang meremehkannya.
Sudah tonton Majalah 3 malam semalam, 17 Mei 2021? Jika dengan mesej melalui dokumentari yang sejelas itu juga tidak mampu menyentakkan hati dan rasa kepada kalian yang masih menafikan bahawa pandemik ini tidak wujud, maka insaf dan sedarlah. Silakan tonton di https://youtu.be/CcAYdtmIKrI.
Sedarlah, tiada manusia yang ingin lakukan sesuatu yang memenatkan diri mereka
sendiri seperti frontliner di hospital bagi menangani kes ini setiap saat dan waktu, 24
jam dan 7 hari seminggu. Petugas kesihatan ini sanggup korbankan waktunya sendiri bersama keluarga demi berkhidmat menyelamatkan mangsa yang terlibat.
Menyarung ‘perisai’ kelengkapan alat pelindung diri (PPE) dalam tempoh berjam-jam bukanlah sesuatu yang menyeronokkan. Tentunya panas, melemaskan dan ketidakselesaan yang dirasakan. Namun para petugas barisan hadapan di hospital-hospital juga di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) tetap setia menjalankan tugasnya.
Mendepani kematian itu satu kebiasaan bagi pakar kesihatan mahupun jururawat
di wad ICU ini, namun itu tidak bermakna hati mereka membatu melihat seseorang
ketika ditarik nyawanya. Pastinya sedikit sebanyak emosi mereka terganggu,
apatah lagi negara kini mencatatkan puluhan kematian setiap hari dek pandemik
Covid-19.
Pengakhiran tanpa iringan
Pernahkah kita bayangkan pengakhiran hidup ini ke tanah perkuburan tiada iringan
keluarga tercinta? Begitulah yang terpaksa didepani untuk mereka yang meninggal
disebabkan Covid-19 ini. Tentunya itu bukan sesuatu yang dibuat-buat seperti skrip
drama atau filem yang boleh ditentukan oleh penulisnya.
Namun, itulah realiti yang kita semua wajib ketahui betapa virus ini sangat kejam
hingga keadaan seperti itu terjadi, yang mana sehingga hari ini telah mencapai
1,800 kes kematian direkodkan sejak setahun yang lalu.
Bagaimanalah perasaan ahli keluarga mereka yang tidak dapat bertemu untuk kali terakhirnya?
Sebenarnya itu tidak perlu kita persoalkan. Tetapi tanya dan sedarkanlah diri kita ini
agar terus dan tetap menjaga diri serta persekitaran dengan sentiasa mematuhi
SOP yang ditetapkan bagi mengelakkan daripada berlaku seperti itu!
Boleh sahaja sesiapa yang masih tidak percaya dengan ujian yang Allah hadirkan
ini, teruskan demikian. Tetapi tolonglah berbelas ihsan dan bertimbang rasa terhadap manusia lainnya yang meyakini bahawa itu adalah sesuatu yang perlu ditangani dengan sesungguhnya, agar dapat menyelamatkan lebih banyak lagi nyawa daripada dijangkiti virus tersebut.
Tugas kita hanya mematuhi segala saranan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan. Tidak perlu kita debat atau bahaskan untuk apa semua itu? Tetapi ingatlah kita bahawa pegawai kesihatan di hospital tidak pernah mempersoalkan tugasnya mendepani semua pesakit Covid-19 yang perlu ditanganinya. Tidak kira bangsa dan agama pun, mereka setia, gigih berusaha untuk menyelamatkan pesakit.
Sebagaimana mereka yang pernah menghadapi situasi ini, akan mengatakan, “Bila
dah kena baru tau. Maka duduklah di rumah dan patuhi SOP yang telah ditetapkan.”
Adakah anda yang belum ‘terjebak’ dengan keadaan itu akan mengulangi kata-kata itu lagi? Nauzubillah. Sewajarnya kita semua berusaha menjaga diri kita dan ahli keluarga daripada dijangkiti virus ini.
Pakai pelitup muka, kerap cuci tangan dan sentiasa mandi setelah tiba di rumah. Usaha-usaha itu perlu kita lakukan bersama. Jadilah kita pemutus rantaian yang sangat berleluasa kini. Caranya dengan kita tetap duduk di rumah dan sentiasa menjaga kebersihan sehingga negara kita capai kemenangan yang sebenarnya iaitu bebas daripada pandemik Covid-19 yang melanda ini.
Bacalah penulisan Ariyani Fifi (https://fb.com/ariyani.fifi), waris yang telah kehilangan ahli keluarganya baru-baru ini akibat Covid-19 pada 14 Mei lalu menerusi statusnya.
“Hari ini genaplah hari ke-11 arwah mamaku pergi. Pergi yang sangat meninggalkan kesan. Ya, kesan kepada semua. Covid is REAL.. COVID DEATH is REAL! Dan hari ini jugalah aku ada kekuatan untuk menulis.. Menulis sebuah coretan untuk diingati sampai bila2.”
Hukum rakyat?
Ketika melayari FB, saya terjumpa persoalan Encik Ishak Hamzah di hantaran pada
16 Mei lalu.
“Adakah menghukum rakyat dengan denda melampau cara terbaik memaksakan pematuhan SOP? Mengapa bukannya mendidik, memujuk atau mengajak? Oh, sudah puas dan sudah jemu mengingatkan rakyat? Adakah seorang ayah boleh berasa jemu untuk mendidik anak-anaknya?”
Tentunya apabila pemimpin mula hilang rasa dan pertimbangan, rakyat dipaksa
buat begitu dan begini. Namun, mereka sendiri tidak mengikut apa yang disyaratkan kepada rakyat.
Secara logiknya saranan itu seakan tidak berkesan langsung, namun ia perlulah dimurnikan lagi dengan beberapa perkara agar ia lebih relevan lagi rasional dikuatkuasakan. Memang bukan mudah, namun ia seharusnya bersikap adil dan
mendidik, bukan sahaja rakyat marhaen tetapi ‘orang kayangan’ juga perlu
dikenakan!
Sejarah telah mengajar kita
Mari kita sorot kembali kepada lembaran sejarah Islam, seharusnya kita menyauk
hikmahnya. Sejarah ini bukan hanya sekadar dinikmati kehebatan kisah-kisah masa
lampau, tetapi juga untuk belajar daripada musibah zaman dulu agar tidak berulang lagi pada zaman ini.
Menyikapi suasana bencana yang kita bahkan seantero dunia sedang depani kini,
ulama telah banyak menulis buku-buku berkaitan tentang ‘treatment’ menghadapinya.
Tinggal mahu atau tidak sahaja lagi untuk dinafi mahupun diikuti. Namun, fikirlah
orang lain dan bukan hanya diri kita sendiri yang tidak mahu menelusuri, mengikuti
mahupun mempercayainya.
Dr Ali Muhammad Audah yang telah menghimpunkan 24 kitab sepanjang zaman
mengisahkan bagaimana umat mengalami bencana (dalam hal ini wabak penyakit) dan bagaimana pemerintah mereka menanganinya.
Antara pelajaran terpenting yang perlu kita ketahui adalah kisah yang ditulis oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitabnya ‘Badl al-Maun fi Fadhli At-Tha’un’ mengenai wabak penyakit menyerang kota Damsyik pada tahun 749 Hijrah atau sekitar tahun 1348 Masihi.
Maka, waktu itu majoriti ulama memberi saranan agar masyarakat tidak berkumpul dan menjauhkan diri daripada majlis-majlis serta tempat yang ramai orang. Namun
apakah yang terjadi selepas itu?
Masyarakat tidak mengikuti saranan yang diberikan para ulama itu dan mereka keluar menuju lapangan luas bersama para pemimpin negara. Mereka berdoa dan meminta pertolongan Allah secara beramai-ramai.
Sungguh menakutkan, wabak itu semakin menular padahal sebelum mereka berkumpul, mangsa kematian adalah sangat sedikit. Hadis Rasulullah telah mengingatkan!
Seterusnya Imam Ibnu Hajar pun mengisahkan apa yang terjadi itu pernah juga
terjadi pada zaman selepasnya ketika wabak melanda Kaherah (Mesir), tepatnya
pada 27 Rabiul Akhir tahun 833 Hijrah (1430 MasIhi) yang mana pada awalnya kes
kematian kurang daripada 40 orang.
Masyarakat pada masa itu keluar ke tanah lapang pada 4 Jamadilawal setelah
mereka melakukan puasa tiga hari sebagaimana yang dilakukan ketika akan solat
istisqa’ (mohon hujan).
Mereka berkumpul untuk tujuan berdoa kemudian pulang ke rumah masing-masing.
Namun, tidak sampai sebulan setelah agenda berkumpul mereka itu, jumlah kematian meningkat mendadak menjadi 1,000 orang setiap hari dan terus bertambah. Sungguh perkara itu telah terjadi di negara kita ini. Permulaannya adalah ketika berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu. Betapa pihak kerajaan yang menyeru jangan keluar atau masuk ke tempat yang dijangkiti, tetapi itulah yang berbondong-bondong ahli politik lakukan!
Sunnah Nabi Muhammad Sallallahualaihiwasallam dalam mengendalikan sesuatu wabak penyakit yang melanda sesebuah tempat sebagaimana mafhum hadis berikut:
“Jika kamu mendengar wabak melanda suatu negeri, maka jangan kamu
memasukinya. Dan jika kamu berada di daerah itu, janganlah kamu keluar untuk lari
daripadanya.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)
Maka sejak usai PRN Sabah yang kali pertamanya berlangsung ketika negara berdepan serangan pandemik Covid-19, jangkitan di Semenanjung terus meningkat. Masihkah kita ingat keadaan itu?
Sejak awal lagi beberapa penganalisis menduga kelangsungan pilihan raya itu akan mengundang suatu yang negatif terhadap usaha membendung penyebaran Covid-19 di negara ini. Ia jelas terbukti apabila kes baharu meningkat mendadak selepas PRN Sabah pada 26 September 2020 dan hal ini tidak dinafikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin
Yassin dalam ucapan khas beliau 6 Oktober 2020.
Berbalik kepada kisah yang ditulis oleh Imam Ibnu Hajar, beberapa orang pada waktu itu telah memberi fatwa bahawa berkumpul untuk berdoa itu perlu kerana beranggapan seharusnya demikian. Ada juga yang menyatakan bahawa dulu pada zaman seorang raja bernama al-Muayyad, situasi seperti itu terjadi dan wabak boleh ditangani dan hilang.
Hakikatnya, ulama telah menetapkan fatwa bahawa tidak berkumpul adalah keadaan yang lebih utama untuk menghindarkan diri daripada fitnah penyakit.
Patuhilah saranan yang ditetapkan
Di saat-saat genting yang negara kita hadapi, bahkan dunia yang sangat tenat kini,
sangat penting untuk kita patuhi saranan ahli agama khususnya ulama dan juga pakar perubatan. Jika hanya bermodal semangat tanpa ilmu, maka akan lebih banyak merosak berbanding memperbaiki.
Ya, kita wajib hanya takut kepada Allah, bukan Covid-19. Namun kerana takutkan
pada Allah, maka laksanakanlah sunnatullah yang perlu diikhtiarkan, bukan tidak
kisah sahaja.
Oleh itu, perlu satu kaedah yang lebih rasional serta kritis kerana ia berkaitan keselamatan dan nyawa manusia yang nilainya amat besar. Ia tidak lain dan tidak
bukan, fatwa daripada mufti yang perlu diselaraskan di setiap negeri. Jika tidak,
boleh jadi wabak ini sukar dibendung. Setakat denda dan hukuman, sebenarnya ia
akan menambah masalah baru pada rakyat.
Maka bersegeralah pihak yang sepatutnya melaksanakan selagi masih ada kesempatan ini. Boleh jadi itulah jalan dan petunjuk yang sebaiknya diikuti, bukan menambahkan bebanan rakyat yang sedia ada.
Kita sebagai rakyat dan masyarakat yang punya agama, segeralah sedar agar tidak terus mementingkan diri. Berlaku ihsanlah terhadap manusia lainnya yang berusaha melakukan yang terbaik untuk memutuskan rantaian wabak ini.
Dr Majdi al-Hilali menulis dalam kitabnya ‘Innahu al-Quran Sirru Nahdhatina’ bahawa umat yang memandang rendah terhadap usaha manusia bermaksud telah mengkhianati Allah.
Ini kerana Allah SWT memberikan kepada manusia hukum, sebab dan akibat. Tentunya yang tidak peduli dengan semua itu tandanya mereka tidak mensyukuri nikmat yang dikurniakan-Nya. Beliau menjelaskan bahawa usaha manusiawi itu boleh jadi dalam bentuk ‘physical distancing’, menetap di rumah saja jika tiada keperluan yang mendesak di luar, sentiasa memakai penutup mulut.
Begitu juga fatwa ulama tentang menghindarkan diri daripada tempat yang ramai,
termasuk saranan sementara waktu untuk tidak solat di masjid dan surau. Keputusan
itu semuanya dengan dalil dan musyawarah yang panjang, tentunya bukan
berlandaskan ego dan kepentingan peribadi.
Atriza Umar
Jabatan Penerangan dan Perhubungan
Pertubuhan IKRAM Malaysia