Home Nasional Gagal patuhi SOP, tapak pembinaan Bertam Perdana ditutup 7 hari

Gagal patuhi SOP, tapak pembinaan Bertam Perdana ditutup 7 hari

Sebahagian pekerja asing yang ditahan dalam serbuan mengejut di sebuah tapak pembinaan di Bertam Perdana, Pulau Pinang hari ini.

BERTAM – Sebuah tapak pembinaan rumah di Bertam Perdana di sini ditutup selama tujuh hari selepas pihak kontraktor gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

Serbuan mengejut pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula jam 10.15 pagi tadi turut menyaksikan sekumpulan pekerja asing cuba yang tidak mempunyai dokumen sah melarikan diri ke dalam hutan berhampiran namun berjaya diberkas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan dilakukan majikan di tapak pembinaan terbabit.

Noorzainy.

Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk pekerja tidak membuat ujian calitan Covid-19, pekerja tidak mengimbas QR MySejahtera, tidak memakai pelitup muka serta tidak memeriksa suhu badan.

“Dalam pemeriksaan itu, kita mengeluarkan dua kompaun berjumlah RM35,000 dikeluarkan kepada majikan atas pelbagai kesalahan.

Pihak imigresen memeriksa dokumen pekerja asing di lokasi serbuan.

“Selain itu, pemeriksaan ke atas 30 pekerja warga asing mendapati ada yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, permit kerja serta memiliki pasport palsu,” katanya kepada pemberita sebaik selepas melakukan pemeriksaan di lokasi serbuan.

Turut hadir dalam pemeriksaan itu, Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Majlis Bandaraya Seberang Perai, Jabatan Imigresen, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan.

Noorzainy menyoal siasat pekerja asing di tapak pembinaan di Bertam Perdana di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Noorzainy menegaskan, KKM mengeluarkan notis penutupan ke atas tapak pembinaan tersebut selama tujuh hari.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan JTK Pulau Pinang, Sherin Erna Majid berkata, pihaknya mengeluarkan notis saman kepada majikan selepas didapati tidak mematuhi Perakuan Penginapan di bawah Akta 446 berkaitan penginapan pekerja-pekerja asing.

“Antara ketidakpatuhan yang dikesan adalah daripada segi bangunan yang digunakan tidak sesuai untuk penginapan pekerja dan kegagalan majikan menyediakan kemudahan minimum,” katanya.

Sherin Erna (kiri) melihat penginapan yang disediakan majikan kepada pekerja di tapak pembinaan tersebut.

Pada operasi itu juga, CIDB mengeluarkan notis kepada wakil kontraktor utama bagi mendapatkan maklumat berikutan pekerja berkenaan mempunyai masalah berkaitan dokumentasi. – MalaysiaGazette