Home Nasional Guna tentera buat rondaan pematuhan SOP

Guna tentera buat rondaan pematuhan SOP

Kehadiran pasukan tentera di jalan-jalan raya serta premis termasuk bank dan pusat beli-belah dilihat berkesan dalam usaha memastikan rakyat mematuhi SOP ditetapkan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya, kerajaan menggunakan  pasukan tentera membuat rondaan dan pemantauan bagi membantu mengekang peningkatan Covid-19 yang mencecah lebih 6,000 kes.

Kehadiran pasukan tentera di jalan-jalan raya serta premis termasuk bank dan pusat beli-belah dilihat berkesan dalam usaha memastikan rakyat mematuhi SOP ditetapkan.

Ketua Armada Bersatu Bahagian Selayang merangkap Biro Kebajikan Armada Negeri Selangor, Muhammad Arif Kasim berkata, kehadiraan anggota tentera dijangka lebih membuatkan rakyat berwaspada.

Ketua Armada Bersatu Bahagian Selayang merangkap Biro Kebajikan Armada Negeri Selangor, Muhammad Arif Kasim.

“Pasukan tentera disyorkan membuat rondaan serta kawalan ke tempat-tempat awam dan bukan sekadar di pos-pos pemeriksaan jalan raya sahaja untuk membantu polis.

“Kehadiran pasukan tentera serta polis untuk mengawal keselamatan seperti yang dilakukan di lapangan terbang dilihat amat berkesan. Langkah yang serupa juga perlu dilakukan untuk mendisiplinkan orang ramai dalam menangani pandemik ini.

“Saya percaya dengan kehadiran tentera barulah orang ramai akan patuh pada SOP termasuk dalam soal sanitasi, pemakaian pelitup hidung dan mulut, pematuhan jarak satu meter yang betul serta SOP lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Di samping itu, kata Muhammad Arif, kerajaan melalui pihak penguat kuasa juga perlu perketatkan lagi SOP bagi menangani merebaknya pandemik Covid-19 berikutan peningkatan kes positif terkini yang dicatatkan negara hari ini.

Langkah ini perlu dan harus dilakukan secara lebih serius kerana terdapat rakyat negara ini yang sekadar mengambil syarat sahaja apabila mematuhi SOP.

“Kita lihat orang ramai yang beratur di kedai atau pusat membeli-belah, jaraknya kurang satu meter, malah rapat-rapat. Begitu juga sanitasi, hanya sekadar syarat dan masih ramai yang tidak menggunakannya seperti di stesen minyak atau memasuki premis perniagaan.

“Begitu juga pemakaian pelitup mulut dan hidung, ada yang terlalu lama hingga berjam-jam tanpa menukarnya, pakai pun tidak betul.

“Kalau ditinjau, masih ramai yang tidak serius dalam mematuhi SOP secara betul. Keadaan ini menjadi penyumbang kepada peningkatkan kes Covid-19,” katanya.

Sehubungan itu, kata beliau, walaupun teguran mahupun tindakan oleh pihak berkuasa selalunya tidak digemari oleh orang ramai tertutama apabila dikenakan tindakan termasuk kompaun, namun langkah mengetatkan SOP yang betul adalah perlu dan jalan terbaik.

Beliau berkata, walaupun ditetapkan larangan rentas sempadan, hanya duduk di rumah dan sebagainya, tetapi ramai yang melanggarnya dengan pelbagai alasan termasuk menunjukkan surat kebenaran serta alasan lain.

“Begitu juga dengan SOP lain, ramai yang ikut hanya sekadar syarat dan tidak benar-benar serius. Namun suka atau tidak suka, tindakan penguatkuasaan kepada yang ingkar adalah perlu walaupun pihak berkuasa dicemuh.

“Dalam hal ini, pihak berkuasa juga disyorkan secara terbuka tidak kira malam atau siang hendaklah menguar-uarkan menggunakan alat pembesar suara dengan bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain untuk mengingatkan orang ramai mengenai keperluan SOP serta tindakan yang akan diambil jika mereka ingkar,” katanya.

Menurutnya, kehadiran kenderaan pihak berkuasa sama ada polis, ambulans, bomba, Rela, tentera, Pertahanan Awam dan lain-lain yang bergerak dari satu kawasan ke kawasan sambil mempamer serta memasang lampu kecemasan di atas bumbung dan menggunakan alat pembesar suara sambil mengingatkan orang ramai mengenai SOP dan pandemik Covid-19 juga perlu dilakukan tanpa mengira waktu.

“Saya percaya apabila ramai melihat kehadiran kenderaan mahupun anggota pihak berkenaan, secara langsung mereka akan mematuhi SOP dengan lebih betul,” katanya.- MalaysiaGazette