JOHOR BAHRU – Johor membenarkan hanya 50 jemaah menunaikan solat Jumaat serta solat fardu di masjid dan surau Jumaat manakala 20 jemaah sahaja dibenarkan menunaikan solat di surau dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok.
Arahan itu turut terpakai bagi aktiviti pengimarahan masjid dan surau sehingga 7 Jun ini atau satu tarikh yang akan dimaklumkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor.
Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi, Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Datuk Md Rofiki Samsudin di sini hari ini.
“Sekiranya pengurusan masjid dan surau tidak dapat menyediakan petugas, maka ruang solat itu hendaklah ditutup,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, pihak pengurusan perlu memastikan bahawa masjid dan surau Jumaat disanitasi selepas solat Jumaat termasuk alat pembesar suara imam dan bilal.
Sementara itu, bagi aktiviti pengimarahan masjid dan surau yang dibenarkan adalah majlis membudayakan al-Quran, bacaan Yasin, tahlil dan wirid dengan syarat membawa al-Quran, surah Yasin dan kitab sendiri serta tiada penglibatan jemaah atau jemputan dari pihak luar.
“Bagi kelas Takmir, kelas Al-Quran, kuliah umum dan khas secara fizikal adalah ditangguhkan sementara, sehingga suatu arahan lain dimaklumkan, namun kelas pengajian secara dalam talian adalah digalakkan supaya program pengimarahan masjid dan dakwah dapat diteruskan.
“Bilal masjid dan surau Jumaat hendaklah membaca teks SOP yang telah disediakan oleh JAINJ selepas solat sunat Qabliah sebelum imam naik di atas mimbar hari Jumaat,” menurut kenyataan itu. – MalaysiaGazette