KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa membenarkan penjualan dan penggunaan Kit Ujian Kendiri jenis RTK-Antigen kepada orang awam bagi ujian pengesanan Covid-19 secara kendiri di rumah seperti yang dilakukan di beberapa negara lain.
Timbalan Pengerusi Pertubuhan Keilmuan Nasional (KN), Mohd Faizal Zulkifly berkata, ia bagi memastikan penyebaran wabak ini terhadap individu lain dapat dibendung memandangkan kes sporadik semakin membimbangkan saban hari.
“Ini kerana kit RTK-Antigen ini sudah pun berada di pasaran, cuma ia perlu dibuka untuk dijual kepada orang awam dan ia tidak memerlukan tempoh masa yang lebih lama berbanding menunggu kit ujian air liur.
“Mungkin ketepatan ujian RTK-Antigen tidak setinggi ujian Polymerase Chain Reaction (PCR), tetapi sekurangnya ia dapat mengesan lebih awal individu yang positif Covid-19 dan diberi rawatan awal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Fazial berkata demikian susulan kes baharu Covid-19 semalam mencatatkan lebih 6,000 kes iaitu 6,075, dengan purata lebih 40 kematian sehari.
Tambahnya, ketika ini banyak pengeluar telah memperkenalkan Kit Ujian Kendiri di pasaran dan sedang menunggu kelulusan penggunaannya.
Harga yang ditawarkan sekitar RM30 hingga RM45 bagi satu kit ujian sekaligus dapat mengurangkan kos orang awam menjalani ujian saringan di pusat kesihatan swasta yang berharga antara RM90 ke RM150.
“Bagi golongan kurang berkemampuan, kerajaan boleh memberi secara percuma kit ujian itu atau memberikan subsidi agar mereka dapat membeli di farmasi atau pusat jualan yang dibenarkan sekaligus dapat mengurangkan bebanan kewangan kerajaan.
“Justeru, penggunaan Kit Ujian Kendiri ini adalah penyelesaian terbaik bagi memastikan proses saringan bersasar dapat dijalankan kerana orang awam boleh menjalankan proses saringan sendiri di rumah,” katanya.
Tindakan kerajaan mengadakan proses saringan secara besar-besaran terutama di kawasan yang mencatat kes tertinggi seperti di Selangor adalah tindakan yang baik.
Bagaimanapun, ia menimbulkan kerisauan KN susulan berlakunya kesesakan di tempat saringan itu sekaligus akan meningkatkan risiko jangkitan akibat perkumpulan orang awam di satu tempat.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga dicadangkan agar dapat mewujudkan buku panduan serta video simulasi cara untuk menjalankan ujian kendiri di rumah.
Ia sebagai rujukan orang awam untuk melakukan kaedah ujian pengesanan Covid-19 serta meningkatkan ketepatan ujian berkenaan.
Selain itu, keputusan ujian kendiri ini juga boleh dikemaskini dalam aplikasi MySejahtera agar kerajaan mendapat data yang tepat bagi individu yang positif Covid-19. – MalaysiaGazette
Bagus, tapi kena pastikan RTK yang sah, dan tiada scammer yang cuba manipulasi perjualan.
Cakap pandai..
Cer bg tau brp hari sekali nak kena buat test?
Brp lama virus ni bertahan dlm environment?