KUALA LUMPUR – Kerajaan dijangka akan membincangkan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh esok.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia akan diputuskan dalam sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) Covid-19 di Putrajaya.
Mesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pukul 3 petang dan turut dihadiri semua Menteri Besar dan Ketua Menteri.
“Akan dibincangkan (esok) untuk diputuskan,” katanya seperti laporan beberapa portal berita arus perdana.
Sebelum itu, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen kota Bharu mengadakan sidang media ketika hadir sama ke mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri Kelantan (JKKNK) yang dipengerusikan Menteri Besar Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darulnaim Kota Bharu, hari ini.
Dalam masa yang sama, menurut Takiyuddin, kerajaan melihat penularan Covid-19 adalah satu perkara yang amat serius dan berdasarkan statistik kelmarin jumlah kumulatif kes positif sudah hampir setengah juta.
“Manakala kematian pula sudah lebih 2,000 dan kita merasakan ia satu perkara yang amat membimbangkan dan kita sedar kerjasama kuat daripada Kementerian Kesihatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Selama ini kita mengambil langkah dengan mengadakan PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sama ada secara keseluruhan atau bersasar bergantung kepada keadaan untuk mengekang penularan Covid-19.
“Perkara-perkara yang kurang penting kita tangguhkan dahulu, fokus kita buat masa ini adalah kepada pandemik Covid-19,” ujarnya.- MalaysiaGazette