KUALA LUMPUR – Kenaikan kes Covid-19 yang mendadak hingga melepasi paras 6,000 semalam jelas menunjukkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal menguruskan pandemik dengan baik.
Presiden Parti Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, PN perlu membuka ruang demokrasi dengan memberikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang mampu mengurus wabak berkenaan dengan baik sekaligus menyelesaikan kesusahan yang dialami rakyat.
“Kenaikan mendadak ini menunjukkan bahawa pelaksanaan perintah darurat tidak berkesan dalam usaha untuk menangani wabak tersebut.
“Parlimen pula masih lagi ditutup dan adalah lebih baik sekiranya pilihan diberi kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang lebih cekap mengurus hal ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.
Terdahulu, Mukhriz dan beberapa pemimpin pembangkang serta NGO dipanggil ke IPD tersebut untuk dirakam percakapan berhubung penganjuran program berbuka puasa di hadapan Parlimen baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, tindakan mereka (berbuka puasa di hadapan Parlimen adalah satu manifestasi bantahan rakyat terhadap kerajaan PN yang telah menyalahguna kuasa untuk menutup Parlimen Malaysia.
Ujarnya, negara-negara lain turut mengisytiharkan proklamasi darurat namun mereka tidak menutup Parlimen daripada bersidang.
“Persidangan Parlimen amat penting untuk proses semak imbang khususnya keatas setiap peruntukan serta perbelanjaan kerajaan.
“Parlimen adalah nadi utama dan tunggak kepada sistem demokrasi berparlimen.
“Sekiranya kerajaan ‘tebuk atap’ PN yang tidak mempunyai keabsahan untuk mentadbir negara serta takut mereka tumbang seandainya Parlimen dibuka…ini membawa erti kerajaan masa kini sudah salah guna kuasa kearah mematikan amalan demokrasi di negara kita yang tercinta ini,” tambahnya.
Tambah Khairuddin, sebagai warganegara yang bertangunggjawab dan mewakili rakyat jelata yang mahukan sistem demokrasi berparlimen di negara ini dipulihkan, pihaknya tiada pilihan lain kecuali terpaksa menyampaikan hasrat warganegara Malaysia melalui perhimpunan secara aman.
Jelasnya, perhimpunan aman ‘buka puasa dan buka Parlimen’ dilakukan secara tertib tanpa unsur provokasi mengikut lunas undang-undang.
“Dalam saat kita menghadapi PKP, pihak penganjur demo secara aman ini juga telah berjaya menganjurkan perhimpunan tersebut mengikut garis panduan SOP yang ditetapkan.
“Kami hanya ingin menzahirkan hasrat rakyat untuk mempertahakan amalan demokrasi berparlimen di Malaysia mengikut lunas undang-undang sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan.
“Bukan kami yang perlu disiasat oleh pihak PDRM tetapi yang harus disiasat adalah kerajaan PN yang mencabuli undang-undang dan hak rakyat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette
#kerajaangagal #silaletakjawatan #pngagal