KUALA LUMPUR – MyAqsa Defenders (MAD) berjaya mengumpul dana berjumlah RM17.8 juta hasil sumbangan rakyat Malaysia sehingga semalam yang akan disalurkan bagi tujuan kemanusiaan dan kebajikan rakyat Palestin.
MAD, yang merupakan gabungan anak muda daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO), selebriti dan ikon kemanusiaan, dalam kenyataan hari ini memaklumkan dana itu akan disalur secara berperingkat dengan Fasa 1 adalah Klinik Malaysia-Al-Aqsa, Khidmat Guaman di Sheikh Jarrah, Kafalah Keluarga Miskin di Baitul Maqdis dan Gaza Emergency Relief.
“Kempen khusus pengumpulan dana daripada NGO ahli gabungan dijalankan sejak hari pertama serangan Israel.
“Hasil sumbangan menunjukkan keprihatinan rakyat Malaysia kepada perjuangan pembebasan isu Palestin dan kepercayaan kepada gabungan ini untuk menguruskan amanah dengan telus dan penuh integriti,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu juga menyebut gabungan tersebut amat komited dengan agenda tadbir urus yang baik, ketelusan dan akauntabiliti dalam melaksanakan program serta projek kemanusiaan dan kebajikan di Palestin mahupun di tanah air.
“MAD mengadaptasi kerangka semak dan imbang dalam ekosistem pengurusan dan pentadbiran termasuklah mewujudkan pelan perancangan strategik sehingga tahun 2030 yang menjadi kayu ukur kelestarian impak sosial kepada masyarakat penerima manfaat di Palestin,” menurut kenyataan itu.
Antara NGO di bawah gabungan itu ialah Cinta Gaza Malaysia, Global Peace Mission Malaysia, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Malaysia for Syria, Al Azhar Care, Cinta Syria Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia dan Cakna Palestin. – MalaysiaGazette
Nampaknya usaha NGO2 lebih tersusun, berkoordinasi dan diuruskan dengan cara yang profesional untuk audit dan tujuannya, tahniah dan teruskan usaha2 murni ini.
Tapi rakyat Palestin lebih mendambakan bantuan tentera dan senjata! Diharap negara2 Islam tidak lagi bergitu berharap kepada PBB dan bersegeralah menghantar pasukan tentera terbaik mereka untuk berhadapan dengan tentera pengganas yang dibantu Amerika dan sekutu Eropah mereka!
Segerakanlah penghantaran, janganlah lagi berlengah! Inshaallah kemenangan akan berpihak kepada pejuang2 Islam sebagaimana yang pernah dikecapai didalam perang Khaibar dahulu.