Home Ekonomi Produktiviti buruh per pekerja bertambah baik pada ST1 2021

Produktiviti buruh per pekerja bertambah baik pada ST1 2021

KUALA LUMPUR – Produktiviti buruh per pekerja Malaysia bertambah baik dengan penurunan marginal 0.4 peratus pada suku tahun pertama (ST1) 2021 selepas mencatatkan negatif 2.9 peratus pada suku tahun keempat tahyn lalu.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, produktiviti buruh per pekerja pada ST1 2021 bertambah baik dengan penurunan marginal 0.4 peratus (ST4 2020: -2.9%), kejatuhan paling kecil sejak produktiviti buruh negara mula menyusut pada ST1 2020.

Pada suku ini, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia menguncup 0.5 peratus (ST4 2020: -3.4%) manakala pekerja berkurang 0.04 peratus (ST4 2020: -0.6%) merekodkan sejumlah 15.2 juta orang.

Justeru, nilai ditambah per pekerja pada ST1 2021 adalah sebanyak RM22,516 per pekerja (ST42020: RM23,604 per pekerja).

Mengulas mengenai prestasi produktiviti buruh yang diukur mengikut nilai ditambah per jam bekerja, beliau berkata, pada suku ini, keadaan ekonomi masih dipengaruhi dengan usaha mengekang Covid-19 menerusi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jumlah jam bekerja terus berkurang sebanyak 0.9 peratus (ST4 2020: -2.7%) merekodkan 8.5 bilion jam bekerja (ST4 2020: 8.6 bilion jam).

Berikutan itu, produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per jam bekerja pulih 0.4 peratus (ST4 2020: -0.8%) dengan nilai RM40.2 per jam (ST1 2020: RM40.0 per jam).

Pertumbuhan positif bagi produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per jam bekerja pada suku ini berikutan penurunan yang lebih besar dalam jumlah jam
bekerja berbanding penguncupan marginal nilai ditambah.

Mengikut sektor ekonomi, sektor pembuatan terus mencatatkan peningkatan produktiviti buruh per pekerja bagi tempoh tiga suku tahun berturut-turut, meningkat 5.9 peratus (ST4 2020: 3.2%).

Pada suku ini, tiga subsektor pembuatan merekodkan pertumbuhan dua digit iaitu minuman & produk tembakau (15.6%), produk elektrik, elektronik & optikal (10.6%) dan Peralatan pengangkutan, pembuatan lain & pembaikan (10.3%).

Produktiviti buruh bagi sektor pertanian pula pulih kepada 1.6 peratus daripada negatif 0.7 peratus pada suku sebelumnya.

Sementara itu, produktiviti buruh kekal menurun bagi lain-lain sektor iaitu perkhidmatan (-2.6%), perlombongan & pengkuarian (-3.7%) dan pembinaan (-8.2%).

Di sektor perkhidmatan, hampir kesemua subsektor mencatatkan pertumbuhan negatif bagi produktiviti buruh kecuali Kewangan & insurans (11.1%) dan Maklumat & komunikasi (2.8%).

Sementara bagi produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per jam bekerja, sektor pembuatan mencatatkan pertumbuhan tertinggi 8.5 peratus (ST4 2020: 6.0%), dengan empat subsektor merekodkan pertumbuhan dua digit iaitu minuman & produk tembakau (22.8%), peralatan pengangkutan, pembuatan lain & pembaikan (12.9%), produk kayu, perabot, keluaran kertas & percetakan (12.8%) dan produk elektrik, elektronik & optikal (11.3%).

Sektor pertanian merekodkan pertumbuhan marginal 0.1 peratus pada ST1 2021 berbanding negatif 0.8 peratus pada ST4 2020. Sebaliknya, pada suku
ini sektor perkhidmatan merekodkan penurunan yang lebih perlahan 1.7 peratus (ST4 2020: -2.7%) dengan pertumbuhan tertinggi produktiviti buruh dicatatkan oleh kewangan & insurans (9.7%), diikuti oleh maklumat & komunikasi (4.7%) dan perdagangan borong & runcit (1.0%).

Begitu juga dengan produktiviti buruh sektor perlombongan & pengkuarian yang jatuh 2.1 peratus berbanding negatif 6.2 peratus pada ST4 2020.

Sementara itu, sektor pembinaan mengalami penurunan terbesar bagi produktiviti buruh per jam bekerja dengan kadar negatif 8.6 peratus berbanding negatif
6.7 peratus pada suku sebelumnya. – MalaysiaGazette