Home Ekonomi Rakyat perlukan vaksin bukan total lockdown – PPIPBM

Rakyat perlukan vaksin bukan total lockdown – PPIPBM

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengilang & Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PPIPBM) yang mewakili hampir 5,000 ahli yang terdiri daripada syarikat/perusahaan kecil dan sederhana termasuk mikro tidak bersetuju pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh ke atas industri-industri yang beroperasi hari ini.

Ini kerana, PPIPBM mendakwa ahli-ahlinya yang menanggung kerugian sejak pandemik melanda tahun lalu, kini sedang bangkit perlahan-lahan mulai awal tahun 2021 dan meneruskan perniagaan dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Presidennya, Datuk Azman Yusoff berkata, warga pengilang masih perlu membayar pinjaman, sewaan premis, dan gaji pekerja.

Malah, para pekerja sektor ini juga gusar bagaimana untuk meneruskan kehidupan dan menanggung keluarga lagi sekiranya dibuang kerja jika ahli-ahli PPIPBM tidak lagi mampu menanggung kerugian.

Jelasnya, kesempitan pendapatan akan juga membawa kesan kepada keharmonian dan kesihatan mental sekeluarga.

PPIPBM, katanya, bersimpati dengan tekanan warga barisan hadapan dan memahami kekangan sistem kesihatan negara yang kini menghampiri kapasiti penuh.

Akan tetapi PPIPBM berpendapat langkah ‘total lockdown’ tidak sesuai buat masa ini, sebaliknya kerajaan perlu menumpukan usaha percepatkan pembekalan dan pengedaran vaksin dan menguatkuasa pematuhan SOP oleh masyarakat di semua peringkat. – MalaysiaGazette