Home Nasional AS perlu pantau gencatan senjata Israel, Hamas

AS perlu pantau gencatan senjata Israel, Hamas

Ketua Pemuda PH, Shazni Munir (kiri) bersama Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Zubair Rahim (tengah) dihalang oleh anggota polis ketika hadir ke kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 21 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Pemuda Pakatan Harapan (PH) hari ini mendesak Amerika Syarikat (AS) mematuhi keputusan gencatan senjata antara Israel dan kumpulan Hamas seperti yang dipersetujui pada pagi tadi.

Ketuanya, Shazni Munir berkata, pihaknya mengambil maklum keputusan yang dibuat oleh Presiden AS, Joe Biden bersama Mesir dalam mencapai keputusan tersebut selepas lebih 200 rakyat Palestin terkorban.

“Kami menyeru kerajaan AS untuk memantau dan memastikan Israel mematuhi gencatan senjata terutamanya apabila melihat Israel mempunyal kecenderungan melanggar perjanjian gencatan senjata seperti yang berlaku pada tahun 2014,” katanya kepada pemberita selepas menghantar Memorandum Pemuda PH kepada Kedutaan AS, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, tiada wakil kedutaan yang tampil menerima memorandum tersebut dan ia hanya diletakkan di pondok pengawal keselamatan.

Dalam memorandum itu Pemuda PH turut menyeru AS menyemak semula hubungan diplomatik dengan Israel serta menghentikan pemberian dana ketenteraan dan penjualan senjata kepada negara itu.

“Berdasarkan rekod menunjukkan kerajaan AS telah memberikan dana sebanyak AS$3.8 billion setiap tahun pada Israel

“Malah kami berdiri teguh bersama resolusi yang dicadangkan di dalam Dewan Senat Amerika Syarikat oleh Senator Bernie Sanders bahawa AS perlu menghentikan rancangan menjual senjata sebanyak AS$735 juta kepada Israel,” katanya.

Pemuda PH juga mendesak agar Biden membuktikan kepimpinanya kepada rakyat AS dan dunia bahawa beliau mampu mempertahankan hak asasi manusia dan semua nyawa adalah penting tanpa mengira warga negara dan bangsa.

Ahli Pemuda Malaysia berarak menaiki kenderaan sambil membawa bendera Palestin menuju hadapan kedutaan Amerika Syarikat bagi menyatakan sokongan kepada perjuangan Palestin yang ditindas oleh rejim Zionis di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2021.

Sementara itu, serentak penghantaran memorandum berkenaan turut berlangsung konvoi kenderaan oleh ahli Pemuda Malaysia sebagai tanda solidariti terhadap nasib rakyat Palestin.

Lebih 10 kenderaan dan motosikal berkonvoi di Jalan Tun Razak melalui hadapan Keduataan AS sambil mengibarkan bendera Palestin.

Program konvoi itu digerakkan atas inisiatif masyarakt secara persendirin bagi membuktikan rakyat Malaysia prihatin dan sedar terhadap konflik berdarah di Gaza.-MalaysiaGazette