Home Seni Hidup Ivan teruja sambut Aidilfitri, beli baju Melayu setiap tahun

Ivan teruja sambut Aidilfitri, beli baju Melayu setiap tahun

Ivan Loke Yun Han atau mesra dipanggil Wan di kalangan rakan Melayu.

KUALA LUMPUR –  Walaupun bukan menganut agama Islam, Ivan Loke Yun Han tetap meneruskan tradisinya meraikan sambutan Aidilfitri setiap tahun sejak 10 tahun lalu.

Ivan, 32, mengakui dia sentiasa teruja dan seronok untuk meraikan sambutan tersebut bersama mereka yang beragama Islam.

Anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini juga selesa dipanggil nama Wan di kalangan rakan-rakan Melayu.

Konsultan yang menetap di Ampang itu berkata, seperti tahun sebelumnya dia tidak lupa membeli baju Melayu bagi meraikan sambutan 1 Syawal.

“Saya mula membeli baju Melayu sejak belajar di zaman universiti lagi dan baju raya pertama yang dibeli adalah di bazar Ramadan Masjid India di mana ia masih simpan lagi.

“Sebenarnya saya rasa seronok dan bahagia apabila dapat menziarah kawan-kawan dan keluarga angkat Melayu ketika Aidilfitri terutama di kampung sebab saya dibesarkan di bandar.

“Ini kerana saya berpeluang dapat menikmati makanan kegemaran rendang tok dan rendang siat dengan lemang bersama kuah kacang.

“Budaya  dan tradisi berlainan itu membuat saya tertarik dan terbuka hati ingin merayakan hari raya bersama-sama kaum Melayu,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini baru-baru ini.

Ivan Loke Yun Han tidak kisah jika jodohnya bersama wanita Melayu.

Ivan yang merupakan bekas graduan SEGi University College Kuala Lumpur memberitahu, dia pada awalnya membelanjakan sekitar RM80 untuk membeli baju raya pertama bersama namun bajetnya ketika ini sudah mencecah RM300.

Kata anak sulung daripada tiga beradik ini, dia tidak mempunyai butik khas untuk dikunjungi namun sering terpengaruh dengan rakan-rakan Melayu yang mencadang butik tertentu.

“Keluarga saya berfikiran terbuka dan tidak kisah saya menyambut Hari Raya kerana bapa saya sebelum ini kerja sebagai kontraktor dan dan persekitarannya sudah biasa dengan budaya Melayu,” katanya menyimpan impian memakai baju Melayu rekaan pereka fesyen terkenal, Hatta Dolmat.

Mengakhiri perbualan, Ivan yang bersekolah Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Bentara Luar di Batu Pahat, Johor itu memberitahu, dia reda jika jodohnya nanti adalah wanita Melayu.

“Saya memang meminati wanita Melayu dan kalau ada jodoh dan serasi, saya sedia terima sebagai pasangan hidup saya nanti,” katanya. – MalaysiaGazette