Home Seni Hidup Jangan guna nama Search tanpa kebenaran

Jangan guna nama Search tanpa kebenaran

Kumpulan Search

KUALA LUMPUR – Kumpulan rock legenda, Search termasuk waris pemain dram, Allahyarham Yazit Ahmad menuntut sebuah syarikat menghentikan kegiatan dan perniagaan yang didakwa menggunakan nama kumpulan berkenaan tanpa kebenaran.

Menerusi satu kenyataan, vokalis, Amy, Nasir dan waris Allahyarham Yazit yang mengasaskan Search pada tahun 1981 mendakwa mendapat maklumat mengenai seorang individu yang menjalankan aktiviti perniagaan menggunakan nama Search tanpa kebenaran.

Kenyataan itu menyebut, antara lain individu terbabit didakwa mengendalikan laman web yang ada kaitan dengan kumpulan Search dan menjual pakaian serta aksesori menggunakan nama kumpulan berkenaan.

Tambah kenyataan itu, pihak terbabit turut didakwa menawarkan produk kasut edisi terhad menggunakan nama Search kepada peminat.

“Nasir, Amy dan waris arwah Yazit mengambil nasihat guaman dan sudah mengeluarkan tuntutan terhadap individu terbabit untuk menghentikan semua kegiatan yang dinyatakan itu,” kata kenyataan yang sama.

Kenyataan itu menambah, Amy dijangka tampil pada sesi Instagram (IG) Live malam ini bagi menjawab soalan yang dikumpul daripada wakil media, mulai semalam sehingga pikul 12 tengah hari ini.

Sementara itu, kenyataan itu menyebut, pada permulaan, Search dianggotai Amy, Yazit, Nasir, Hillary dan Nordin.

“Hillary berundur selepas album ketiga kami, Mentari Merah Di Ufuk Timur dan Kid mengambil alih tempat Hillary dari album keempat, Fenomena.

“Album kami yang terakhir adalah Katharsis dikeluarkan Amy, Nasir, Nordin dan Kid pada tahun 2017. Ketika itu, arwah Yazit tidak bermain dalam album terbabit atas sebab keuzurannya. Seperti yang semua maklum, arwah Yazit meninggal dunia pada 2019.

“Bagaimanapun, ahli Search bersetuju memastikan hak arwah Yazit kepada Search dan kerja beliau untuk band ini sejak 1981 diberi kepada warisnya,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette