
KOTA KINABALU – Kes positif COVID-19 di Sabah terus merekodkan peningkatan hari ini dengan 245 kes baharu iaitu pertambahan 85 kes dalam tempoh 24 jam berbanding 160 kes baharu semalam dengan satu kes kematian.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata ia berpunca daripada 62 kes positif baharu daripada kluster sedia ada, Kluster D’ Kuala melibatkan pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Kuala Papar selepas ujian saringan kedua dijalankan.
Menurutnya, selain kluster D’Kuala, empat kluster baharu turut dikesan sekali gus menyumbang kepada peningkatan berkenaan iaitu melibatkan kluster Jalan Kretam Silimpopon Kalabakan (37 kes), kluster Lorong Karamunsing Kota Kinabalu (28 kes), kluster Jalan Pengalat Lok Kawi di Papar (16 kes) dan kluster Jalan Tun Fuad (11 kes) .
Masidi yang juga jurucakap COVID-19 negeri berkata pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes di Sabah setakat ini adalah 59,909 kes dengan 453 kes kematian.
Masidi berkata kerajaan negeri juga bersetuju melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sekolah Menengah Ugama Pantai Manis, Papar bermula 21 Mei sehingga 3 Jun selaras dengan keputusan kerajaan Persekutuan.
“Sehingga kini, KKM telah melakukan 495 ujian saringan, 61 daripadanya disahkan positif COVID-19,” katanya.
Selain itu, katanya tiga daerah turut dikenakan PKPD bermula 22 Mei hingga 4 Jun depan bagi memudahkan KKM menghalang pergerakan penduduk sekali gus mengekang penularan wabak COVID-19 ke luar kawasan lain.
Tiga daerah terlibat ialah Kampung Idani, Semporna; Kampung Pisang, Tawau dan Kampung Getah, Kampung Getah Tengah dan Taman Kunak Jaya, Kunak. – MalaysiaGazette