Home Nasional Pekerja Pasar Borong KL suntik vaksin minggu depan

Pekerja Pasar Borong KL suntik vaksin minggu depan

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai semasa melakukan tinjauan bagi memastikan para peniaga pasar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di Pasar Borong Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 21 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Pekerja Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL) dijangka akan menerima suntikan vaksinasi Covid-19 bermula minggu hadapan.

Pegawai Kesihatan Daerah Kepong, Dr. Sukhvinder Singh berkata, pihaknya menjalankan kerjasama dengan persatuan pemborong ikan, sayur-sayur, buah-buahan serta penjaja kecil untuk mendapatkan perincian mengenai pekerja yang layak menerima suntikan tersebut.

“Kami dalam proses penerimaan nama daripada semua persatuan pemborong PBKL. Andai kata senarai ini sudah lengkap, di peringkat kami pada hari Ahad minggu depan kita akan lakukan vaksinasi terhadap pekerja yang disahkan negatif Covid-19 sahaja.

Pegawai Kesihatan Daerah Kepong, Dr. Sukhvinder Singh. Foto AFFAN FAUZI, 21 MEI 2021.

“Bagi mereka yang sah dijangkiti wabak itu perlu menunggu antara tiga hingga empat bulan untuk proses imunisasi.

“Setakat ini kami sudah terima 337 senarai (nama) dari pemborong ikan dan kami masih menunggu dan menjalankan kerjasama dengan pemborong sayur, buah dan penjaja serta mereka yang ada hubung kait dengan proses penjualan, pembelian serta borong,” katanya kepada pemberita ketika ditemui hari ini.

Terdahulu beliau menyertai operasi pemantauan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan peningkatan kluster jangkitan Covid-19 membabitkan PBKL yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai.

Mengulas lanjut, Sukhvinder berkata, kluster jangkitan Covid-19 yang dikesan di PBKL agak tinggi iaitu sebanyak 16 kluster.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai semasa melakukan tinjauan bagi memastikan para peniaga pasar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di Pasar Borong Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 21 MEI 2021.

Terdapat sebanyak 33 kes positif Covid-19 dengan 16 daripadanya melibatkan pemborong ikan, dua penjual ikan, penjual sayur (2), pekerja am (2), pembeli Pasar Sentul (1), gerai berhampiran (1), pembekal (1) dan kontak rapat (3).

“Kluster yang dikesan di sini agak tinggi jadi kami telah gembleng usaha sama dengan persatuan di sini serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menerangkan SOP yang perlu dilaksanakan, namun butiran SOP itu perlu lebih diperketatkan dalam membendung wabak Covid-19 di PBKL ini,” ujarnya.

Sementara itu, Eng Lai berkata, seramai dua pegawai dan 33 anggota dikerah bagi menjalankan pemantauan SOP di PBKL serta kawasan sekitarnya.

“Operasi kita jalankan setiap hari sejak bermulanya PKP 3.0, kita memantau SOP di dalam PBKL dan juga di luar dan hasil pemeriksaan hari ini bermula pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari tiada sebarang kompaun dikeluarkan.

“Berdasarkan pemerhatian dan pemantauan yang dilakukan, saya agak berpuas hati dan berharap supaya pematuhan ini terus dilakukan pada masa akan datang.

“Jangan mereka mendengar maklumat pihak polis akan buat operasi barulah mereka semua mahu mematuhi SOP tetapi bila lepas polis balik mereka kembali kepada asal,” ujarnya.

BH Online sebelum ini melaporkan, DBKL memutuskan untuk menutup operasi bahagian ikan di PBKL selama lapan hari hingga 16 Mei lalu.

Penutupan itu berikutan permintaan persatuan peniaga di pasar terbabit dan Kementerian Kesihatan susulan kes positif Covid-19 membabitkan operator dan pekerja bahagian ikan di pasar itu.

PBKL mempunyai 448 gerai membabitkan bahagian jualan ikan, sayuran dan buah-buahan yang dikendalikan lebih 4,000 pekerja termasuk peniaga. – MalaysiaGazette