Home Nasional Tiada bukti Yayasan Shekar buat tempahan vaksin Sinovac – KJ

Tiada bukti Yayasan Shekar buat tempahan vaksin Sinovac – KJ

Coordinating Minister of the National Covid-19 Immunisation Plan (PICK) Khairy Jamaluddin Abu Bakar. PIX: MalaysiaGazette AstraZeneca vaccine vaccination senior citizens registration
Coordinating Minister of the National Covid-19 Immunisation Plan (PICK) Khairy Jamaluddin Abu Bakar. PIX: MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Sehingga kini Yayasan Shekar tidak mempunyai apa-apa urusan dengan syarikat Sinovac – vaksin yang kononnya mahu diberikan sebagai sumbangan kepada negeri Selangor.

Itu jawapan  Khairy Jamaluddin kepada dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya yayasan itu sudah menunggu sejak Mac lalu untuk membeli vaksin kerana mahu mendermakannya kepada negeri Selangor itu.

Menurut Menteri Sains Teknologi dan Inovasi itu, tiada sebarang rekod menunjukkan mengenai wujud urusan sedemikian.

Katanya, yayasan yang dimaksudkan oleh Anwar adalah Yayasan Shekar yang dipelopori oleh seorang ahli perniagaan bernama Dato Vinod Shekar yang merupakan sahabat baik kepada Ahli Parlimen Port Dickson itu.

“Setelah kita semak surat Shekar memang tidak ada apa apa urusan dibuat oleh Yayasan Shekar dengan syarikat Sinovac yang mengeluarkan vaksin.

“Namun demikian saya telah menghubungi yayasan tersebut dan sekali lagi memberi peluang kepada mereka untuk membuktikan bahawa mereka sebenarnya adalah sahih dan mereka dapat memberi sumbangan tersebut.

“Malangnya, setakat ini belum ada apa-apa bukti lagi daripada pihak Sinovac bahawa Shekar Foundation telah membuat tempahan untuk vaksin yang nak diderma,’ katanya dalam video malam tadi.

Beliau juga sekali lagi memaklumkan mengenai isu dua juta dos untuk negeri Pulau Pinang yang dibangkitkan Anwar.

“Isu Pulau Pinang saya sudah menjawab semalam namun demikian saya telah memaklumkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bahawa kalau sekiranya sumbangan itu memang sahih dan masih lagi ada dan penerima sumbangan itu masih lagi rela untuk tampil untuk memberi sumbangan tersebut, kerajaan Pusat akan memberi kebenaran untuk melaksanakan sumbangan tersebut,” ujarnya.

Mengenai dakwaan Pharmaniaga memonopoli pemerolehan semua vaksin ke negara ini dan kerajaan bersikap tamak haloba juga dinafikan Khairy.

Menurutnya, tuduhan Pharmaniaga membeli semua vaksin PfizerBioNtech, Sinovac dan Astra Zeneca adalah tidak benar sama sekali.

Menurut Ahli Parlimen Rembau itu, pembelian Pfizer dibuat menerusi syarikat Pfizer Malaysia, AstraZeneca dibuat melalui dua kaedah iaitu satu kemudahan Covax yang dikendalikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan kedua terus melalui Syarikat AstraZeneca Malaysia.

“Pharmaniaga hanya membeli vaksin Sinovac melalui syarikat Sinovac di Malaysia maka tuduhan Anwar adalah tidak betul sama sekali kononnya Pharmaniaga membeli semua vaksin,” ujarnya.

Khairy juga menjelaskan kerajaan tidak bersifat mengawal pembelian vaksin sebaliknya memberikan keutamaan kepada Program Imunisasi Covid Kebangsaan (PICK) yang mana segala perolehan kerajaan mesti didahulukan.

Selepas itu katanya, sesiapa sahaja yang ingin membeli daripada mana-mana syarikat vaksin yang memiliki kelulusan dari Bahagian Regulatori Farmasi Kebangsaan (NPRA) adalah bebas untuk melaksanakannya.

“Sebahagian besar negara di dunia ini mengutamakan program imunisasi kebangsaan dan jarang kita melihat mana-mana di negara dunia ada pasaran vaksin swasta yang dibangunkan awal dalam PICK,” jelas beliau..

Menjawab tuduhan Anwar kononnya satu syarikat di negara ini monopoli dengan membeli vaksin tanpa dibuka kepada syarikat lain, Khairy menjelaskan bahawa setiap vaksin mesti memiliki label pemilik pendaftaran produk tempatan atau syarikat tempatan membuat pemohonan kepada NPRA bagi mendapat kelulusan itu.

Dalam hal tersebut katanya, vaksin Sinovac Rgistration Holder adalah syarikat Pharmaniaga iaitu syarikat kerajaan yang dimiliki Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

“Maka dengan ini jelas setiap vaksin perlu melalui satu pemilik pendaftaran produk, China ada juga vaksin lain contohnya Sinofarm dan ada beberapa pihak tempatan ingin mendaftarkan vaksin ini.

“Kita terbuka kepada mana-mana pihak yang mempunyai keupayaan dan maklumat data klinikal untuk mendaftarkan dengan NPRA, itu tak perlukan melalui syarikat Pharmaniaga,” ujarnya.- MalaysiaGazette