BATU PAHAT – Seorang doktor pakar hospital swasta maut apabila kereta Porsche Coupe yang dipandunya terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Kluang, Taman Koperasi Bahagia, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah yang mengesahkan insiden itu memberitahu, mangsa Noor Zairul Muhamad, 50, yang dalam perjalanan dari rumahnya untuk ke tempat kerja maut di tempat kejadian.
“Pada jam lebih kurang 9.40 pagi anggota bertugas di Balai Polis Trafik, IPD Batu Pahat telah menerima panggilan telefon dari orang awam menyatakan satu kemalangan jalanraya telah berlaku di KM 2 Jalan Kluang Batu Pahat Johor.
“Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku pada jam lebih kurang 9 pagi mangsa memandu motokar jenis Porche seorang diri dari arah Bandar Batu Pahat ke arah Sri Gading.
“Apabila sampai di tempat kejadian motokar yang dipandunya telah hilang kawalan lalu melanggar tiang lampu di batu penghadang tengah jalan kemudian terbabas memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan MPV (kenderaan pelbagai guna) jenis Toyota Vellfire yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 31 tahun, juga seorang diri,” katanya.
Tambah beliau, pemandu Toyota Vellfire mengalami kecederaan.
Jelasnya, mayat mangsa dikeluarkan dari kereta oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram.
Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II BBP Penggaram, Saifulle Idris berkata, seramai 16 anggota bersama empat jentera dikejarkan ke lokasi kemalangan untuk memberikan bantuan kecemasan.
“Sejurus tiba di lokasi nahas terdapat kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu Porsche Coupe dan Toyota Vellfire.
“Terdapat dua mangsa terlibat dan salah seorang mangsa tersepit dalam kereta Porsche Coupe,” katanya.
Tambah beliau, anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta dengan menggunakan peralatan khas.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Malaysiagazette