Home Sukan FIFA pertimbang temasya Piala Dunia dua tahun sekali

FIFA pertimbang temasya Piala Dunia dua tahun sekali

FIFA mengkaji cadangan kejohanan bola sepak piala dunia diadakan setiap dua tahun sekali berbanding empat tahun sekali yang dilaksanakan sejak 1930.

LONDON – Badan kawal selia bola sepak dunia iaitu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sedang mempertimbangkan potensi menganjurkan kejohanan bola sepak Piala Dunia dua tahun sekali berbanding setiap empat tahun selama ini.

FIFA dilaporkan akan melakukan kajian mendalam untuk melakukan perubahan dalam kejohanan Piala Dunia untuk lelaki dan juga wanita.

Kajian itu juga akan mengambil kira perlawanan pusingan kelayakan untuk kedua-dua temasya itu.

Cadangan itu dikemukakan oleh Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF) dan menerima sambutan dalam Kongres Tahunan FIFA semalam.

“Kita percaya bahawa masa depan bola sepak kini dalam keadaan kritikal dan memerlukan satu tranformasi menyeluruh.

“Malahan pandemik Covid-19 juga telah menjejaskan industri bola sepak dan semua pemegang taruh dalam sektor itu sejak tahun lalu,’ kata Presiden SAFF, Yasser Al-Misehal.

Katanya, adalah penting untuk FIFA meneliti semula penstrukturan akviti bola sepak di peringkat global.

Justeru format penganjuran setiap empat tahun sekali temasya Piala Dunia juga harus dinilai semula sama ada ia membantu perkembangan dan pembangunan bola sepak dalam aspek pertandingan serta komersial.

Presiden FIFA, Gianni Infantino menyifatkan cadangan itu sebagai terperinci dan perlu dikaji serius dengan 166 negara anggota FIFA mengundi menyokong manakala 22 undi menentang diterima.

Piala Dunia untuk pasukan bola sepak lelaki diadakan empat tahun sekali sejak 1930 kecuali tahun 1942 dan 1946 kerana perang dunia kedua.

Manakala bola sepak Piala Dunia Wanita diadakan sejak 1991.- MalaysiaGazette