IPOH – Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid hari ini meminta sepasang suami isteri yang mendakwa diperas ugut oleh anggotanya agar tampil memberikan maklumat bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap anggota terlibat.
Beliau berkata, pihaknya telah mengunjungi kediaman suami isteri itu di sini, namun didapati kedua-duanya tiada di rumah berkenaan.
“Saya hendak menyeru kepada mangsa ini supaya tampil ke hadapan dan kalau dia takut hendak jumpa orang lain, boleh jumpa saya sendiri untuk memberi maklumat tentang kejadian ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas memantau penugasan hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Mukim Hulu Kinta di Jalan Raja Dr Nazrin Shah.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan walaupun hantaran Facebook yang dimuat naik pasangan itu telah dipadamkan.
Sebelum ini tular kisah pengguna Facebook dengan nama Hawaa Azmann yang memuat naik hantaran mendakwa suaminya menjadi mangsa peras ugut polis yang mengambil wang simpanan mereka dalam kejadian pada Ramadan lalu.
Pengguna Facebook itu turut mendakwa suaminya dapat mengecam anggota dan pegawai polis terlibat yang menaiki tiga buah kereta jenis Honda.
Bagaimanapun, tidak lama kemudian pengguna Facebook itu membuat satu lagi kenyataan memohon maaf bagi membersihkan nama pihak polis dan mendakwa kejadian merupakan rekaan suaminya manakala wang berkenaan telah digunakan bagi tujuan lain. – Bernama