Home Seni Hidup Search beri masa tujuh hari kepada Mozylir

Search beri masa tujuh hari kepada Mozylir

Kumpulan Search

KUALA LUMPUR – Kumpulan rock legenda tanah air, Search memberi masa tujuh hari kepada seorang individu bernama Mozylir Mokhtaruddin untuk menghentikan semua kegiatan yang melibatkan kumpulan rock terkemuka itu.

Menerusi satu sidang media melalui Instagram Live malam tadi, ahli kumpulan Search, Nasir; bekas vokalis, Amy dan anak bekas pemain dram, Allahyarham Yazit memberitahu, mereka akan memulakan tindakan undang-undang jika pihak Mozylir gagal berbuat demikian.

Mozylir yang berniaga atas nama ‘Home of Champions’ didakwa telah menggunakan nama Fenomena Search atau imej berkaitan Search bagi menjual pakaian dan aksesori lain termasuk kasut Aliph X Search Edisi 2021.

“Di pihak saya, saya cuma mahu lindungi hak keluarga. Seperti yang dikatakan Uncle Amy, bukanlah bermakna kami tidak terbuka untuk memberi kebenaran kepada anggota menggunakan nama Search.

“Kita boleh bagi (kebenaran) tetapi perlu ada perbincangan dan persetujuan semua,” kata anak Allahyarham Yazit yang dikenali sebagai Boy.

Vokalisnya, Amy berkata, banyak perkara perlu diperjelas dan diperincikan sebelum kebenaran menggunakan nama Search boleh diberi.

“Selama ini, kami jaga nama dan branding kumpulan. Ini tak ada kena mengena dengan isu salah faham atau bergaduh tetapi kami mahu betulkan apa yang tidak betul.

“Jangan nanti apabila semua sudah tak ada, waris-waris bertelagah, pihak luar pula ambil kesempatan. Sebab itu kami kena bertegas dengan hak kami dan perjelaskan semua dari sekarang,” ujar Amy.

Tambah Amy lagi, beliau juga tidak tahu tentang keuntungan yang sudah dibuat pihak HOC, namun surat yang dihantar peguam mereka ada meminta HOC mendedahkan semua hasil perniagaan menggunakan nama Search.

Kali terakhir Search mengeluarkan album adalah pada tahun 2017 melalui album yang berjudul Katharsis. Album tersebut dikeluarkan oleh Amy, Nasir, Nordin dan Kid manakala arwah Yazit tidak dapat menyertai album tersebut disebabkan faktor keuzuran.

Bagaimanapun, kesemua ahli Search telah bersetuju memastikan hasil kerja arwah Yazit dalam kumpulan itu daripada tahun 1981 akan diberikan kepada warisnya. – MalaysiaGazette