Home Nasional Sekatan terhadap sektor ekonomi, sosial bukti kerajaan serius tangani Covid-19

Sekatan terhadap sektor ekonomi, sosial bukti kerajaan serius tangani Covid-19

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Langkah mahu menambah sekatan ke atas sektor ekonomi dan sosial ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 menunjukkan kerajaan serius untuk membendung penularan wabak Covid-19.

Ketua Badan Pimpinan Negeri, Wilayah Persekutuan (BPNWP) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya berkata, umum mengetahui bahawa pandemik Covid-19 yang melanda negara kini semakin membimbangkan.

Justeru, satu tindakan drastik perlu diambil bagi menangani penularan wabak tersebut daripada terus melumpuhkan keseluruhan sektor di negara ini.

“Semua pihak harus memahami keadaan sukar yang sedang dilalui pada masa ini. Kita harus berkorban meskipun kita tahu ia akan menyulitkan tetapi, pengorbanan ini penting untuk keseluruhan rakyat.

“kita masih lagi berperang dengan musuh yang tidak nampak dan disebabkan itu kita kena berlapang dada untuk menerima apa sahaja keputusan yang dibuat oleh pemerintah demi kebaikan bersama,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Suhaimi menggesa agar pihak-pihak yang tidak habis-habis mengkritik usaha kerajaan dalam menangani wabak tersebut agar berhenti daripada berbuat demikian.

Ini kerana, tuduhan-tuduhan yang dibuat tanpa asas hanya akan menyukarkan lagi usaha untuk memerangi wabak yang mengancam nyawa itu sekaligus akan merugikan diri mereka sendiri.

“Ingatlah, kita masih lagi berdepan dengan penyakit yang membunuh…janganlah jadi individu yang menyulitkan lagi keadaan yang sememangnya sukar ini.

“Kasihanilah pejuang barisan hadapan yang telahpun bertungkus lumus sejak lebih setahun lalu. Mereka sudah kepenatan, hargailah usaha dan pengorbanan mereka itu dan bantulah mereka dengan menyokong apa yang mahu dilakukan oleh kerajaan dalam menyelesaikan musibah yang sedang dialami.

Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya

“Barisan hadapan itu juga sudah berkeluarga. Mereka telah sanggup berkorban masa dan tenaga untuk memastikan keseluruhan rakyat selamat daripada pandemik yang berbahaya kepada semua.

“Semua pihak harus bersedia untuk patuh dengan SOP lebih ketat yang akan diumumkan oleh Menteri Pertahanan petang ini,” ujarnya.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, kerajaan akan melaksanakan penambahan sekatan ke atas sektor ekonomi dan sosial yang sedang dilaksanakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 untuk membendung penularan wabak Covid-19.

Katanya, Keputusan tersebut dicapai sebulat suara dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perincian sekatan tambahan itu akan diumumkan dalam sidang media betsama Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, petang ini.- MalaysiaGazette