Home Nasional 664 individu ingkar SOP, 39 PATI ditahan – Ismail Sabri

664 individu ingkar SOP, 39 PATI ditahan – Ismail Sabri

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 644 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) yang mana 519 orang daripadanya dikenakan kompaun manakala 32 lagi direman dalam Operasi Pematuhan, semalam.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kegagalan merekod butiran diri atau daftar masuk ke premis masih menunjukkan kesalahan paling tinggi dikesan membabitkan 218 individu.

“Ini diikuti dengan kesalahan tidak memakai pelitup muka membabitkan 126 individu, tiada penjarakan fizikal (103), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (102), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (5) dan lain-lain (90),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan 70,849 pemeriksaan memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

“Seramai 3,731 Pasukan Pematuhan melibatkan 15,206 anggota telah membuat pemantauan di 4,402 pasaraya, restoran (4,953), kilang (2,439), bank (3,934), pejabat kerajaan (870) dan penjaja (2,096).

“Turut dipantau ialah pasar awam/tani (1,857), tempat ibadah (3,113), tempat riadah (1,718), terminal pengangkutan darat (2,079), terminal pengangkutan air (360) dan terminal pengangkutan udara (143),” katanya.

Sementara itu, pihak berkuasa turut menahan 39 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan merampas tiga kenderaan dalam Operasi Benteng (Op Benteng), semalam.

“Sebanyak 169 buah bot atau kapal turut dikesan di perairan negara melalui tujuh aktiviti penglihatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette