Home Nasional ATM sedia bina dua lagi hospital medan – Ismail Sabri

ATM sedia bina dua lagi hospital medan – Ismail Sabri

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) diiringi Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang (dua kiri) melawat ruang ICU Medan untuk pesakit kritikal Covid-19 semasa membuat lawatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Setapak, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 17 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedia memenuhi keperluan kerajaan termasuk membina dua lagi hospital medan bagi menampung jumlah pesakit Covid-19 yang semakin meningkat ketika ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata, pembinaan hospital itu bergantung kepada jumlah petugas kesihatan ATM sedia ada ketika ini.

“Walaupun kita sudah ada tiga hospital medan yang sedang beroperasi di Kapit Sarawak, MAEPS bersama KKM dan Kepala Batas Pulau Pinang, kita mampu untuk mewujudkan dua lagi hospital medan.

“Sebenarnya kita boleh tambah lebih daripada dua lagi hospital medan dengan syarat kita mendapat tambahan tenaga kerja iaitu 30 doktor dan 100 paramedik,” katanya pada sidang media dalam lawatan kerjanya di Pharmaniaga LifeScience Sdn. Bhd di Puchong, hari ini.

Dalam pada itu, penambahan kakitangan itu dapat memenuhi keperluan lebih banyak hospital medan serta menambah kelengkapan dan peralatan kesihatan yang lain dalam menguruskan pesakit Covid-19.

“Saya telah memohon perkara ini tambah doktor dan petugas paramedik kepada kerajaan untuk mempertimbangkannya…kita tunggulah keputusan daripada kerajaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette