![bursa Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.](https://staging.malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2018/11/bursa.png)
KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka terus menyaksikan pergerakan tidak stabil yang ketara minggu depan dengan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) diunjur didagangkan dalam julat antara 1,550 hingga 1,570 mata dengan kecenderungan menjurus kepada trend menurun.
Menurut ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim, aktiviti perdagangan mungkin lengang atau perlahan pada hari-hari mendatang memandangkan hari berurus niaga adalah lebih singkat minggu depan. Bursa tempatan akan ditutup pada Rabu sempena cuti umum sambutan Hari Wesak.
Pada masa sama, sebahagian besar syarikat tersenarai awam akan mengumumkan pendapatan korporat masing-masing untuk tempoh suku berakhir 31 Mac, 2021.
“Walaupun banyak syarikat mungkin mencatatkan pertumbuhan positif dari segi pendapatan korporat, para pelabur dilihat tidak akan mengambil langkah drastik untuk meningkatkan pendedahan mereka dalam pasaran ekuiti kerana jumlah harian kes COVID-19 tidak berkurangan, malah mencecah sehingga 6,000 kes sejak kebelakangan ini,” katanya kepada Bernama.
Menyentuh mengenai data ekonomi pula, Adam berkata pelabur di Malaysia akan memberi tumpuan kepada data eksport bulan April yang dijadual diumumkan Jumaat depan.
Data eksport ini dijangka mencatatkan satu lagi pertumbuhan dua digit di celah-celah kesan asas yang rendah daripada tahun lepas, jelas beliau.
Bursa Malaysia diniagakan kebanyakannya lebih rendah pada urus niaga minggu ini terutama dalam landskap yang sangat tidak stabil selepas Malaysia mencatatkan kes jangkitan tinggi dan pelabur menjangkakan kemungkinan sekatan pergerakan lebih ketat dilaksanakan oleh kerajaan untuk membendung penularan pandemik COVID-19.
Pada lewat petang Jumaat, kerajaan memutuskan untuk mengetatkan lagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang sedang berkuat kuasa dengan penambahan sekatan ke atas sektor ekonomi dan sosial.
Keputusan itu dibuat semasa Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diadakan awal hari ini.
Indeks utama FBM KLCI menyusut 20.35 mata kepada 1,562.17 semalam (Jumaat) daripada 1,582.52 pada hari akhir dagangan (Rabu) minggu sebelumnya.
Di pada papan indeks, Indeks FBM Emas lemah 227.01 mata pada 11,336.03, Indeks FBMT 100 turun 191.75 mata kepada 11,042.22, Indeks FBM Emas Syariah menyusut 322.37 mata kepada 12,608.03, FBM 70 kehilangan 439.18 mata kepada 14,536.66 dan FBM ACE jatuh 321.29 mata kepada 7,624.87.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 82.54 mata kepada 14,768.0, Indeks Perladangan menyusut 174.26 mata kepada 7,899.52 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri merosot 9.94 mata kepada 187.30.
Indeks Tenaga pula lebih rendah sebanyak 51.08 mata kepada 845.92, Indeks Teknologi turun 1.87 mata kepada 75.51 sementara Indeks Penjagaan Kesihatan kerugian 49.96 mata kepada 3,137.08.
Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 32.44 bilion unit bernilai RM16.52 bilion berbanding 14.12 bilion unit bernilai RM8.36 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama mengukuh kepada 18.69 bilion saham bernilai RM15.29 bilion daripada 8.62 bilion saham bernilai RM6.87 bilion minggu lepas.
Jumlah dagangan waran mengembang kepada 1.53 bilion unit bernilai RM152.39 juta berbanding 875.38 juta unit bernilai RM93.32 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan di pasaran ACE menokok kepada 12.24 bilion saham bernilai RM4.21 bilion daripada 4.62 bilion saham bernilai RM1.4 bilion pada minggu lepas. – MalaysiaGazette