Home Politik Jangan mudah percaya DAP pejuang semua kaum

Jangan mudah percaya DAP pejuang semua kaum

Setiausaha Penggerak Komuniti Negara (PKN) Selangor, Muhamad Shazlee Muhamad Nazlee

KUALA LUMPUR – Tidak dinafikan secara dasar dan luaran organisasi DAP berdaftar sebagai pertubuhan politik pelbagai kaum, namun ia bukan satu rahsia apabila pemimpinnya mahu menutup suasana polarisasi kaum ketara yang wujud dalam parti itu.

Setiausaha Penggerak Komuniti Negara (PKN) Selangor, Muhamad Shazlee Muhamad Nazlee berkata, jika DAP jujur memperjuangkan kepentingan semua kaum, mengapa sejak penjajaran politik 1972, parti itu hanya bertumpu di kawasan dominan Cina dan bertanding dalam kawasan majoriti Cina sahaja.

“Mengapa DAP tidak meletakkan calon di Parlimen Tampin atau Gua Musang sekiranya berupaya memperjuangkan hak pemilih majoriti di kawasan ini? Kenapa DAP lebih sinonim dan berkubu di kawasan bandar semata-mata seperti Kuala Lumpur, Seremban, Johor Bahru, Ipoh dan Georgetown?

“Sejak sekian lama kita melihat majoriti wakil rakyat DAP didominasi oleh ahli Cina dan sebahagian India? Jawapannya mudah, ini kerana DAP menumpukan sokongan masyarakat Cina,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 11 Mei lalu, Anggota Majlis Tertinggi Bersatu. Datuk Zuraida Kamaruddin mendakwa tempoh pendek pentadbiran Pakatan Harapan (PH) menunjukkan DAP memiliki kecenderungan untuk menjadi abang besar.

Menurut Zuraida, ia dilihat lebih ketara selepas Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong menasihatkan UMNO supaya menerima hakikat tiada lagi parti dominan, induk, teras atau abang besar.

Pengalaman Zuraida bersama mereka dalam kerajaan PH selama 22 bulan lalu telah menampakkan belang sebenar DAP yang cuba menjadi dominan dalam masyarakat Cina di Malaysia.

Dedahnya, kegagalan DAP bertanding dan menambah hati masyarakat Melayu bukan kerana perkauman atau ketuanan Melayu yang menebal, sebaliknya kerana pemuka-pemuka DAP terlalu Chinese Centric sebagaimana MCA dan Gerakan.

“Parti Gerakan Rakyat Malaysia juga melalui kepincangan memperkasakan semangat bangsa Malaysia dek kerana Chinese Centric. Walhal tokoh akademik Naquib Al-Attas antara pengasas parti pelbagai kaum ini.

“DAP sejak era 1960 an hingga Tsunami Politik 8 Mac 2008, DAP telah dibayangi politik polarasi kaum kerana mahu menjadi pesaing kental UMNO-BN.

“Mereka gagal membina gelombang politik pelbagai kaum acuan Malaysia untuk melawan politik ketuanan UMNO. Otak mereka sejak sekian lama sudah terpasak bahawa tiap hal berkaitan isu warisan, kebudayaan, sosio-politik Melayu adalah acuan ketuanan UMNO,” katanya.

Menurut Muhamad Shazlee, perspektif ini salah dan ia masih wujud dalam kalangan pentaksub socialisme DAP, malah tidak mengejutkan masih ada wakil rakyat DAP gagal bercakap dan fasih menguasai Bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan negara ini.

“Mereka masih gagal mempunyai pemimpin yang fasih berbahasa Melayu seperti Presiden Singapura, Lee Hsien Loong yang petah menyebut perkataan-perkataan Melayu lama yang tidak lagi biasa dituturkan di Malaysia. Itu sangat menarik perhatian masyarakat Melayu.

“DAP mahu membawa konsep Malaysian Malaysia, tetapi asas budaya mana yang mahu digagaskan sebagai teras konsep ini,” katanya.

Menurutnya, PKR, Warisan Sabah, PBS adalah antara parti politik pelbagai kaum yang paling berjaya di negara ini dan bukannya DAP susulan polarisasi kaum itu tidak ketara di dalam parti-parti itu serta wujud keseimbangan.

“Cuba tanya DAP di Sabah dan Sarawak, kenapa mereka hanya meletakkan calon di kawasan bandar dan masih takut untuk bertanding di luar bandar yang didiami oleh kaum majoriti?

“Itu bukti paling jelas DAP masih mengamalkan polarisasi kaum dengan mengutamakan Chinese Centric walhal masyarakat Sabah dan Sarawak sangat terbuka kepada kerencaman budaya dan sosio-politik pelbagai kaum.

“DAP sebenarnya adalah talam bermuka-muka. Jangan kata atau memberi alasan bahawa DAP Sabah dan Sarawak tidak sama dengan DAP Semenanjung Malaysia. Hipokrasi politik DAP itu terpampang di Sabah dan Sarawak.

“Selagi organisasi kepimpinan DAP masih dikuasai 80 peratus ahli Cina dan 15 peratus ahli India manakala Bumiputera sekadar melengkapkan baki kuota, jangan mudah percaya bahawa DAP memperjuangkan untuk semua kaum. Ini sandiwara politik nyata,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.