Home Politik Kerajaan prihatin perlu bantu rakyat – Najib

Kerajaan prihatin perlu bantu rakyat – Najib

Najib Razak

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu membuktikan ia benar-benar prihatin dengan memberi bantuan kepada rakyat yang terjejas teruk akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, lagipun rakyat biasa memang memerlukan bantuan tersebut.

Beliau turut mengemukakan lima sebab mengapa bantuan perlu diberikan kerajaan.

Katanya, kerajaan kata kes Covid-19 melonjak semula kerana kesilapan memberi kelonggaran terlalu awal serta merebaknya varian baharu.

Kesilapan memberi kelonggaran terlalu awal termasuk pembukaan semula sekolah pada ketika kes baharu Covid-19 masih tinggi sebab kerajaan buat PKP separuh masak bukan salah rakyat, sebaliknya ia adalah dasar kerajaan.

Najib menambah, kemasukan varian baharu juga bukan salah rakyat sebab rakyat biasa tak melancong ke luar negara.

”Kerajaan yang membuat kesilapan untuk turunkan tempoh kuarantin bagi pengembara asing pada bulan Disember dari 14 hari ke 7 hari,” tambahnya.

Sebab kedua ialah kerajaan gagal untuk turunkan kes baharu ke dua angka menjelang raya dan mungkir janji untuk tidak lagi buat PKP menyeluruh apabila PKP 3.0 diumum masa Hari Raya hanya dua bulan selepas PKP 2.0 tamat.

Akibatnya, ramai sudah membazir perbelanjaan persediaan Hari Raya apabila PKP 3.0 diumum dan lawatan raya tidak lagi dibenarkan.

Sebab ketiga pula ialah kerajaan sudah diberi kuasa penuh darurat dengan kuasa bebelanja sesuka hati selama lebih empat bulan tapi gagal apabila keadaan Covid-19 menjadi berkali ganda lebih teruk berbanding semasa darurat bermula.

”Adakah ini salah rakyat apabila kes Covid-19 mencecah 500,000 hari ini? Jika kamu mahu kuasa penuh darurat maka kamu tanggung lah juga tanggung jawab penuh apabila gagal. Fair?,” soalnya.

Dakwanya beliau lagi, kerajaan sudah membuat pinjaman baharu, mengeluarkan tabung simpanan dan jual aset sebanyak RM115 bilion pada tempoh darurat ini dan bukan kerajaan hari ini yang akan bayar semula duit ini tetapi rakyat pada masa depan.

Jadi, soalnya, adakah ianya keterlaluan untuk rakyat minta bantuan daripada sebahagian dana RM115 bilion ini pada ketika rakyat sedang susah.

Manakala sebab kelima pula ialah ramai rakyat biasa memang perlukannya

”Sebab ada yang terpaksa tutup 2 bulan, buka 2 bulan dan terpaksa tutup 2 bulan lagi. Ada juga sektor-sektor yang langsung tak boleh buka sejak tahun lepas.

”Sewa, ansuran pinjaman dan bil api/air tetap jalan tiap-tiap bulan. Simpanan dan rizab pun semakin habis setelah menghadapi PKP 1.0 dan PKP 2.0.
Inflasi pun dah mencanak naik akibat lagi kesilapan kerajaan.

”Jadi, kamu nak mereka hadapi PKP 3.01 dengan apa?,” tanya Najib sambil mengingatkan bahawa kerajaan yang sendiri mengaku prihatin.

Tambahnya beliau:”Jadi, buktikanlah bahawa kamu benar-benar prihatin sebab nama Makcik Kiah pun tidak disebut lagi hampir setahun,”. – MalaysiaGazette