
IPOH “Setiap kali ada kematian, saya berdepan suasana sayu dan memilukan. Selalunya saya berusaha menenangkan ahli keluarga yang hanya dibenar melihat urusan pengebumian dari jauh,” kata seorang penggali kubur yang menguruskan ‘rumah terakhir’ pesakit COVID-19.
Shuib Aziz, 64, menyifatkan tugasnya itu adalah satu amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul memandangkan ahli keluarga tidak dapat menguruskan pengebumian jenazah orang kesayangan mereka disebabkan kekangan prosedur operasi standard (SOP) untuk kematian akibat COVID-19.
“Awal-awal dulu saya amat takut apabila diminta menggali kubur untuk jenazah yang meninggal dunia akibat virus ini sehingga tidak boleh tidur malam, selain asyik teringat kesedihan ahli keluarga mangsa yang tidak dapat melibatkan diri dalam urusan pengebumian,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Ahli keluarga terdekat hanya dibenarkan mendekati pusara sebaik sahaja urusan pengebumian dan penyemburan pembasmi kuman selesai dilaksanakan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) atau vendor yang dilantik.
Anak kedua daripada lapan beradik itu yang telah menggali liang lahad untuk kira-kira 15 jenazah COVID-19 setakat ini bersyukur kerana hingga kini masih terselamat daripada jangkitan virus tersebut.
Jenazah terbabit merupakan pesakit COVID-19 dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, katanya, menambah pihak forensik akan menghubunginya setiap kali ada kematian.
Shuib berkata antara pengalaman paling mencabar dihadapinya ialah menggali kubur sewaktu hujan lebat dengan angin kencang serta air hujan mulai bertakung di dalam liang lahad sedangkan jenazah sudah sedia untuk dikebumikan.
“Saya selalunya mengambil masa kira-kira tiga jam untuk menyiapkan lubang kubur dan kadang-kadang turut dibantu beberapa orang untuk menggali kubur selain dipantau polis apabila melibatkan jenazah kematian akibat COVID-19,” katanya yang turut melakukan kerja-kerja rencam di tanah perkuburan itu. – MalaysiaGazette