Home Nasional Pengilangan vaksin Sinovac mampu atasi kelewatan bekalan – Ismail Sabri 

Pengilangan vaksin Sinovac mampu atasi kelewatan bekalan – Ismail Sabri 

Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Pengilangan dan pembotolan vaksin Covid-19 Sinovac di kilang Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd bukan sahaja mengurangkan kos perolehan kerajaan, bahkan mampu menjamin bekalan vaksin itu di negara ini.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sekiranya berlaku kelewatan penghantaran mana-mana vaksin ke negara ini, Pharmaniaga mampu menanganinya melalui pengilangan tempatan.

“Apabila kita ada sendiri (pengilangan) kita tidak perlu tertumpu semata-mata import kepada vaksin produk siap guna dari China, sebab itu kita buat keputusan untuk mengeluarkan sendiri.

“Kita dengar ada vaksin yang dijanjikan kepada kerajaan mungkin masih belum sampai, kalau perkara ini berlaku dengan Sinovac, dengan kemampuan kita mengeluarkan 500,000 seminggu ini.

“Kalau ada masalah kelewatan sampai produk siap dari China, jadi kita boleh keluarkan sendiri (produk siap guna) di kilang kita sendiri,” katanya pada sidang media secara persidangan Zoom, hari ini.

Terdahulu Ismail Sabri membuat lawatan kerja ke kilang berteknologi tinggi Pharmaniaga LifeScience Sdn. Bhd bagi mengetahui perkembangan terkini dan proses pengilangan “fill & finish” vaksin Covid-19 Sinovac yang dijalankan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, pembotolan vaksin di negara ini adalah salah satu strategi pihaknya, di samping pengimportan terus bekalan dos Sinovac siap guna itu dari China.

“Pembotolan akan mengurangkan kos daripada kerajaan, yang kita siap sedia iaitu import terus dari China kita buat standby kepada kerajaan sekiranya ada kekurangan daripada pihak kerajaan untuk dibekalkan kepada seluruh negara.

“Kita buat standby lagi 3 juta untuk kerajaan, kita dalam perbincangan dengan pihak kerajaan, sekiranya terdapat kekurangan atau tidak sampai mana-mana vaksin, kita boleh menampung kepada kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette