KUALA LUMPUR – Siapa yang menang dan siapa yang kalah dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada hari Jumaat lepas dengan keputusan untuk tidak melaksanakan sekatan pergerakan penuh dalam perang melawan wabak Covid-19?
Itu persoalan ditimbulkan oleh Lim Kit Siang sambil mendakwa hakikatnya rakyat telah kalah.
Kata Ahli Parlimen Iskandar (DAP) itu, tindakan tidak melakukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh sebenarnya tidak masuk akal, sebaliknya ianya lebih kepada kebaikan politik segelintir pihak.
“Saya bertanya kepada seorang rakan yang merupakan seorang doktor mengenai pandangan beliau mengenai keputusan MKN seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan Keselamatan, jawapannya beliau ialah:
“Dari pandangan perubatan, langsung tak masuk akal. Dari segi kelangsungan hidup politik, baik untuk mereka. Untuk rakyat, habislah mereka.”
“Nampak gayanya, jenaka “MCO – Making Confusing Orders; CMCO – Continue Making Confusing Orders; EMCO – Even More Confusing Orders; RMCO – Repeatedly Making Confusing Orders” di media sosial tidak akan berakhir dalam masa terdekat,” tulisnya dalam blog beliau sebentar tadi.
Pemimpin veteran DAP itu menambah, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah telah meminta rakyat Malaysia untuk melakukan “lockdown kendiri” selama dua minggu untuk membantu memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
“Iany kelihatan seperti beliau sendiri sudah tidak ada pilihan lagi kerana beliau tidak mampu mendapatkan MKN untuk menerima cadangan beliau.
“Hanya mereka yang sangat optimistik sahaja yang akan percaya bahawa langkah-langkah yang diambil oleh MKN boleh memutuskan rantaian jangkitan dalam masa dua minggu.
“Kini, rakyat Malaysia hanya ditinggalkan dengan lockdown mengelakkan 3C dan mengamalkan 3W. Sekiranya perkara ini memadai, kita tidak perlu pun melalui PKP, PKPB, PKPD, dan PKPP.
“Tetapi kes kematian pula kematian menghampiri 2,199 kematian manakala kes pula menghampiri setengah juta,”ujarnya.
Bagaimanapun kata Kit Siang, pihaknya boleh berhenti menuntut kerajaan untuk membawa dasar-dasar yang lebih baik untuk mengawal wabak Covid-19 ini.
“Oleh itu, saya menyeru Muhyiddin untuk mengetepikan pertimbangan yang lain dan menasihati Seri Paduka Baginda Yang di Pertua Agong untuk memanggil sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri melawan Covid-19,” tegasnya. – MalaysiaGazette