KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka berlegar lebih rendah antara 4.12 dan 4.16 berbanding dolar US pada minggu hadapan selepas menerima tekanan susulan peningkatan kes COVID-19 termasuk kekurangan pemangkin positif.
Penganalisis Pasaran Kanan OANDA, Jeffrey Halley berkata, walaupun dolar US mungkin turut melemah, ringgit dijangka lebih banyak dipengaruhi oleh sentimen dan aliran dana jangka pendek berbanding prestasi data.
“Berdasarkan hal tersebut, unjuran untuk ringgit sangat bergantung kepada perkembangan COVID-19 dan harga minyak. Harga minyak dilihat mempunyai ruang untuk menurun terutama jika perjanjian Amerika Syarikat serta Iran diumumkan secara rasmi.
“Pada umumnya, ini akan mengimbangi sebarang keuntungan yang mungkin diterima oleh ringgit daripada kelemahan dolar US disebabkan kebimbangan inflasi,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz mengatakan selepas mencapai paras 4.1470, dolar US mula mengundur berbanding ringgit dan kini menunjukkan tekanan penjualan awal.
Ini didorong oleh Indeks Harga Pengguna Malaysia (IHP) yang datang lebih rendah daripada yang diramalkan.
“Kebimbangan mengenai inflasi Malaysia telah timbul sejak pembacaan IHP sebelum ini, yang berubah daripada negatif (deflasi) ke angka tertinggi dalam empat tahun (4.7 peratus berbanding 4.9 peratus yang dijangkakan pasaran).
Daripada sudut teknikal, jika harga ringgit/dolar US menembusi di bawah 4.1350, ia boleh turun naik kepada 4.1220. Sebaliknya, jika harga berhasil mencecah atas 4.1500, ia mampu mencapai paras 4.1700, ” kata Diniz.
Dari minggu ke minggu, ringgit melemah berbanding dolar US kepada 4.1390 / 1430 daripada 4.1230/ 1280 seminggu sebelumnya.
Ringgit juga adalah lebih rendah berbanding mata wang utama yang lain.
Ia menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.1099/1141 daripada 3.1023/1073 dan turun berbanding yen kepada 3.8074 / 8118 daripada 3.7909 / 7966.
Ringgit merosot berbanding pound Britain kepada 5.8832/8897 daripada 5.8279/8353 yang dicatatkan semasa Jumaat lepas dan merosot berbanding euro kepada 5.0595/0656 daripada 5.0028/0102. – MalaysiaGazette