MUTAKHIR ini kita menyaksikan kebangkitan masyarakat serata dunia memperjuangkan suara rakyat Palestin untuk membebaskan bumi al-Quds dan masjid al-Aqsa dari cengkaman rejim zionis. Dunia turut melakar sejarah dengan ribuan manusia berarak di negara masing-masing untuk menunjukkan solidariti kepada rakyat Palestin dan sebagai tanda protes kepada Israel. Masyarakat di Tokyo, Jordan, Tunisia, Tehran, Toronto, Chicago, Bueno Aires, Yemen, Dearborn Mich, Beirut dan lain-lain negara bersatu padu membanjiri jalananan melaungkan kebebasan untuk Palestin.
Media sosial turut dibanjiri dengan mesej keamanan dan tempat berlakunya perang naratif dalam talian bagi mereka yang ingin memperjuangkan hak asasi kemanusiaan untuk rakyat Palestin yang dizalimi. Pelbagai kaedah dan aktivisme dalam talian dilancarkan dan digerakkan oleh pengguna media sosial.
Antaranya aktivisme hashtag atau penggunaan kata pagar yang dilihat berupaya menarik perhatian ribuan pengguna media sosial untuk bersama-sama menyatakan sokongan mereka kepada Palestin disamping mengecam tindakan Zionis yang tidak berperikemanusiaan. Variasi kata pagar seperti #IsraelKoyak dan #ShameOnIsrael telah sohor kini di kebanyakan laman media sosial seperti Instagram, Facebook dan Twitter.
Namun, kita menyedari adanya cubaan dan tipu muslihat dari pihak Zionis dan sekutu mereka yang bermain kotor dengan cubaan membisukan dan menenggelamkan suara-suara kebangkitan untuk rakyat Palestin. Penderitaan rakyat Palestin terus dimanipulasi dan tidak dilaporkan dengan jujur oleh majoriti media arus perdana terutamanya media barat yang memihak kepada Israel.
Aktivis-aktivis sosial dan kemanusiaan yang giat membuat perkongsian dalam talian secara langsung untuk mengikuti perkembangan semasa di Palestin telah diberikan amaran demi amaran kerana dikatakan melanggar garis panduan pengguna media sosial. Figura yang bersuara lantang memperjuangkan hak rakyat Palestin turut memaklumkan akaun media sosial mereka disekat untuk beberapa hari dan kemudian dipadam.
Malah, terdapat pengguna-pengguna media sosial menerima amaran yang sama kerana berkongsi ‘posting’ atau hantaran berbentuk poster sokongan terhadap Palestin. Capaian hashtag pro-Palestin juga menjadi terhad kerana dikatakan tidak mengikut garis panduan pengguna. Mereka juga diugut bahawa akaun media sosial mereka akan dipadam jika perkongsian diteruskan.
Syarikat gergasi media sosial seperti Instagram dan Facebook turut membuat cubaan membisukan individu dan organisasi berpengaruh dari membuat siaran berkenaan Palestin dengan mengehadkan pencarian pengguna. Lebih teruk lagi apabila rakyat Palestin yang menggunakan media sosial untuk membuat liputan keadaan semasa di Palestin, terutamanya bagi mereka yang berada di Sheikhul Jarrah, al-Quds dan
Gaza, disekat dari membuat perkongsian secara langsung. Bagi mereka yang berkongsi video berkenaan kezaliman Israel mendapati siaran mereka dilimitkan dari dilihat oleh pengguna lain.
Berdekad lamanya Israel telah melakukan jenayah hak kemanusiaan dengan kaedah penindasan yang sistematik melalui ‘apartheid’ dan penganiayaan. Ia merupakan jenayah yang tidak hanya mendiskriminasikan aspek sosial, politik dan ekonomi, bahkan menindas rakyat Palestin dengan begitu zalim untuk mempertahankan rejim Zionis. Dasar ‘apertheid’ juga merujuk kepada dasar terancang di mana tujuannya adalah untuk memberikan hak istimewa kepada komuniti Israel dengan cara menindas hak rakyat Palestin.
Kebebasan untuk memiliki tanah dan rumah, bergerak di tanah air sendiri, melakukan ibadah di Masjid al-Quds, membawa masuk bantuan makanan dan pakaian, mengawal keselamatan serta hak untuk menetap bersama ahli keluarga terdekat kesemuanya disekat.Jika sebelum ini media sosial menjadi jambatan bagi rakyat Palestin untuk berhubung dengan dunia luar, kini suara mereka dirampas tatkala menggunakan medium tersebut untuk meningkatkan kesedaran kepada orang ramai tentang keganasan yang dilakukan oleh Zinonis di bumi al-Quds.
Kita turut melihat bagaimana Israel melaksanakan apartheid versi digital. Syarikat teknologi gergasi yang mengendalikan platform seperti Zoom, Facebook, Instagram dan Twitter bergiat aktif mengeluarkan suara rakyat Palestin termasuklah golongan yang mendokong aspirasi dan perjuangan Palestin. Isu ini menunjukkan masalah dan kebimbangan tentang hak kemanusiaan dan kebebasan untuk bersuara yang dimanipulasi oleh pihak Zionis dan sekutunya.
Amaran tentang kewujudan sisi gelap Internet apabila disalahgguna ada dikupas oleh Marshall Van Alstyne dan Erik Brynjolfsson, penyelidik MIT, pada tahun 1996. Sisi gelap tersebut terjadi apabila individu yang berkuasa atau diberi kuasa mengendali medium dalam talian menyaring bahan yang dirasakan tidak bersesuaian dengan kehendak dan apa-apa pandangan yang bertentangan dengan perspektif mereka.
Implikasinya dari situasi tersebut menyebabkan segala cubaan yang dilakukan oleh Israel menerusi apertheid digital juga membawa kepada gelombang ‘echo chamber’ atau ruang gema yang berat sebelah dan memihak kepada Israel dan sekutunya. Apa sahaja naratif yang mendukung suara rakyat Palestin segera dibisukan supaya naratif dari pihak Zionis terus memdominasi ruangan akhbar dan media sosial.
Persoalannya, perlukah kita berhenti dari menggunakan media sosial yang dikemudi oleh zionis berserta sekutunya? Boikotlah senjata digital yang mereka cipta dengan terus menyebarkan ilmu dan fakta berkenaan Palestin dan menceritakan kepada dunia tentang apa sebenarnya yang berlaku di bumi Al-Quds agar kita dapat bersama runtuhkan tembok ‘echo chamber’ tersebut. Sekiranya kita tidak berbuat demikian, gelombang naratif dari pihak Zionis akan terus mendominasi sesuatu medium.
Akhirnya, ia akan hanya menyebabkan sesuatu maklumat yang tidak benar tersebar luas, berat sebelah dan menguasai minda jutaan masyarakat di seluruh dunia. Kita juga memerlukan kemahiran dari pakar teknologi Muslim untuk mencipta medium digital kita sendiri agar individu Muslim yang lain dapat bersama memanfaatkan medium tersebut
kearah kebaikan dan supaya kita tidak terus bergantung kepada medium yang dicipta oleh Barat. Ilmu berkenaan permainan algoritma dan strategi penggunaan media sosial juga perlu diteliti dan diperhalusi agar dapat difahami dengan mudah oleh individu yang tidak mempunyai latar belakang atau pengetahuan berkenaan aspek teknikal tersebut.
Di samping kita menjaga sahsiah dan adab sebagai seorang Muslim serta sebagai rakyat Malaysia, jihad atau usaha untuk berjuang menyeimbangkan dan menaikkan naratif keamanan dan keselamatan menerusi media sosial untuk rakyat Palestin juga perlu diteruskan agar perjalanan dan perjuangan kita dapat didokumentasi sebagai bukti mempertahankan maruah Islam dan hak kemanusiaan yang boleh kita banggakan dari generasi ke generasi.
Usaha kita perlu dipergiat agar kita dapat terus memecahkan tembok ‘echo chamber’ dan ‘apertheid’ zionis Israel sehingga mereka gentar kepada penyatuan umat Islam di seluruh dunia dan akur dengan suara-suara kebenaran yang cintakan kepada keamanan.
Kebenaran akan terus disingkap meskipun Zionis Israel dan sekutunya tidak putus membisukan kita menerusi sistem apartheid mereka.
Dr. Kartini Kamaruzzaman,
Pensyarah Kanan,
Program Komunikasi Media Baharu,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia