Home Nasional Siak meninggal dunia, Masjid Al-Hidayah ditutup sementara waktu

Siak meninggal dunia, Masjid Al-Hidayah ditutup sementara waktu

Seorang siak masjid rebah dan meninggal dunia di sebuah klinik swasta di Bayan Lepas, Pulau Pinang semalam.

BALIK PULAU – Seorang siak Masjid Al-Hidayah meninggal dunia dipercayai akibat jangkitan Covid-19 di sebuah klinik di Bayan Lepas di sini semalam.

Difahamkan warga emas berusia 67 tahun itu rebah ketika hendak mendapatkan rawatan  di klinik berkenaan kerana demam.

Akibat kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan sepasukan petugas Kementerian Kesihatan  (KKM) yang lengkap dengan pakaian perlindungan (PPE) bergegas ke klinik berkenaan untuk membawa jenazah mangsa ke Hospital Pulau Pinang.

Petugas KKM yang lengkap memakai PPE mengambil jenazah mangsa untuk dibawa ke Hospital Pulau Pinang.


Susulan kejadian itu, pengurusan Masjid Al-Hidayah dalam satu kenyataan memaklumkan masjid berkenaan akan ditutup bermula 23 Mei sehingga tempoh yang akan diberitahu kelak.

Pihak pengurusan masjid juga menasihatkan ahli kariah yang mempunyai kontak rapat dengan mangsa bersedia untuk melakukan ujian calitan Covid-19.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Jelasnya, ujian swab kedua akan dijalankan bagi mengesahkan sama ada mangsa dijangkiti Covid-19 atau tidak.

“Seperti yang disarankan pihak pengurusan masjid, kita berharap jemaah yang lain terutamanya yang ada kontak rapat dengan siak masjid berkenaan untuk membuat ujian saringan Covid-19.

“Saya ingin mengingatkan semua masyarakat agar sentiasa patuh dan ikut pada SOP yang telah ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19,” kata Anbalagan. – MalaysiaGazette