Home Utama Hadkan masa pelanggan di premis tidak praktikal – Persatuan Pengurusan Kompleks

Hadkan masa pelanggan di premis tidak praktikal – Persatuan Pengurusan Kompleks

Pengunjung membeli barangan keperluan selepas kerajaan memperketatkan Prosedur operasi standard (SOP) sektor ekonomi dan sosial ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sebuah pusat beli belah Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 22 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Pihak pengurusan pusat beli-belah tidak mempunyai kuasa untuk mengawal pelanggan yang  berada di premis mereka  bagi membuat pembelian.

Lantaran itu adalah tidak wajar menghukum mana-mana pusat membeli-belah dan sektor peruncitan yang tidak dapat mengawal had masa pelanggan ketika berada dalam premisnya, kata Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK).

Apatah lagi untuk pihak pengurusan premis perniagaan memeriksa aplikasi MySejahtera pelanggan untuk tujuan mengaudit masa masuk.

Justeru persatuan itu menyifatkan peraturan menghadkan masa pelanggan berada di premis perniagaan kepada dua jam sebagai tidak praktikal untuk dilaksanakan.

“Sekiranya pihak berkuasa melaksanakannya ia seperti ‘negara polis’. Tanggungjawab akan dilakukan oleh pembeli untuk mendisiplinkan diri mereka dalam had dua jam dan bukan untuk pusat beli-belah untuk dikuatkuasakan.

“Oleh itu, kami menentang sepenuhnya sebarang usaha untuk menghukum pusat membeli-belah dan atau peruncit untuk kesalahan tersebut,” kata persatuan itu menerusi kenyataan.

Kata kenyataan itu lagi, sejak pandemik Covid-19 tercetus pada 2020, rekod tempat letak kereta di pusat-pusat membeli belah menunjukkan pembeli menghabiskan masa satu hingga satu jam setengah atau rata-rata kurang daripada tiga jam.

Dalam masa yang sama,  PPKM turut menolak cara menghadkan jumlah pelanggan masuk ke pusat membeli-belah khususnya dengan penggunaan giliran.

Jelasnya, pelanggan yang berada di suatu premis seperti pusat beli-belah hanya untuk sementara sahaja dan akan silih bertukar ganti untuk suatu masa.

“Jumlah pembeli ke pusat membeli-belah ini sementara sahaja, tiba dan keluar pada bila-bila masa. Tidak ada kesempatan untuk pelanggan berkumpul di kawasan umum kerana acara, pameran, aktiviti promosi sekarang tidak dibenarkan,” tambah persatuan itu lagi.

PPKM sedar kerajaan mahu memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) untuk mengawal penularan, namun strateginya perlulah praktikal.

Baru-baru ini, kerajaan menetapkan tempoh masa operasi perniagaan dihadkan bermula 8 pagi hingga 8 malam kecuali bagi kedai farmasi dan penjagaan diri.

Selain itu KPDNHEP semalam turut memaklumkan, SOP baharu turut mewajibkan had jumlah pelanggan di dalam semua premis peruncitan termasuk kompleks membeli-belah dalam satu-satu masa mengikut keluasan premis perniagaan dengan penetapan satu orang bagi setiap empat meter per persegi.

Tempoh masa pelanggan di dalam semua premis peruncitan termasuk pusat membeli-belah juga dihadkan kepada maksimum dua jam sahaja dan had kapasiti pekerja bagi semua premis peruncitan, pemborongan, pengedaran serta kompleks membeli-belah termasuk pengurusan, operasi dan sokongan ditetapkan sebanyak 60 peratus.

Kementerian itu turut menegaskan tidak teragak-agak untuk mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menutup serta merta mana-mana premis yang didapati tidak mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diperketatkan ini.-MalaysiaGazette