Home Utama Hasil siasatan insiden tren bertembung dua minggu lagi

Hasil siasatan insiden tren bertembung dua minggu lagi

Mangsa dibawa keluar untuk mendapatkan rawatan susulan kemalangan dua LRT dari arah Gombak dan Kelana Jaya bertembung di Stesen LRT KLCC, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 24 MEI 2021.

KUALA LUMPUR-  Sebuah Pasukan Petugas Khas akan ditubuhkan bagi menyiasat insiden perlanggaran dua buah tren LRT berhampiran KLCC, malam tadi.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, laporan awal mengenainya akan diserahkan oleh ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) esok.

Manakala bagi laporan penuh hasil siasatan pula akan dikemukakan oleh pasukan petugas khas itu dalam tempoh dua minggu.

Tegasnya, kerajaan mengarahkan siasatan terperinci dilakukan kerana insiden pertembungan di antara dua tren itu adalah sesuatu yang sangat serius.

“Kerajaan sangat sedih dengan insiden ini.

“Ia merupakan insiden pertama dalam tempoh 23 tahun sejak LRT beroperasi dan perlanggaran di antara dua tren secara bertembung adalah sesuatu yang serius.

“Maka sebuah pasukan petugas khas akan ditubuhkan bagi menyiasat dan menentukan punca sebenar kejadian sama ada masalah sistem, masalah signal atau masalah komunikasi,” katanya semasa sidang media selepas meninjau perkembangan sebenar insiden berkenaan malam tadi.

Ka Siong juga sempat bertemu dengan mangsa-mangsa yang tercedera, selain turut melihat keadaan gerabak yang rosak akibat perlanggaran tersebut.

Ketika ditanya apakah perkhidmatan LRT akan digantung bagi memudahkan siasatan, beliau berkata, ia terserah kepada laporan awal yang akan dikemukakan Ketua Pengarah APAD esok.

Setakat ini katanya, Prasarana Malaysia Bhd. mungkin akan menyediakan bas perantara bagi mengangkut penumpang yang tidak boleh menggunakan perkhidmatan tren di laluan KLCC kerana kerja-kerja mengalihkan gerabak rosak masih belum siap.

Bagaimanapun, beliau meminta semua pihak supaya menunggu kenyataan rasmi daripada Prasarana berhubung operasi tren di laluan berkenaan.

Kira-kira jam 8.30 malam tadi, dua buah tren bernombor 40 dan 81 bertembung berhampiran KLCC.- MalaysiaGazette