KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM7.8 juta bagi pelaksanaan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) COVID-19 kepada rakyat Pahang yang terkesan semasa penularan wabak ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan tersebut dilaksanakan secara bersasar khusus kepada rakyat yang terkesan dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)
“Peruntukan besar yang disediakan ini sebagai tanda mengambil kisah dan mengambil berat Kerajaan Negeri ke atas kemaslahatan rakyat, apatah lagi dalam menghadapi tempoh yang sukar sekarang.
“Seperti mana inisiatif-inisiatif bantuan yang kerajaan negeri berikan sebelum ini, BPP COVID-19 secara bersasar akan diberikan dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan.
“Antara golongan yang akan memanfaatkannya ialah petugas barisan hadapan, penjaja harian, pemandu teksi, kes-kes Covid-19 aktif termasuk mangsa menjalani kuarantin di rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media menerusi kenyataan media melalui Pejabat Menteri Besar Pahang.
Selain itu, golongan gelandangan, miskin tegar, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang berusia 80 tahun ke atas juga antara penerima bantuan.
Ujarnya, segala persediaan sedang giat dilakukan dan beliau berharap penerima dapat menerima dan memanfaatkan bantuan yang diberikan.
“Semoga pengagihan sebenar BPP COVID-19 secara bersasar ini dapat dilaksanakan sesegera mungkin agar bakal-bakal penerima dapat memanfaatkannya dalam kadar segera”. – MalaysiaGazette