Home Ekonomi Pelabur asing beli RM32.4 juta ekuiti tempatan minggu lalu

Pelabur asing beli RM32.4 juta ekuiti tempatan minggu lalu

Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelabur asing menjadi pembeli bersih dalam ekuiti tempatan minggu lalu yang menyaksikan aliran masuk sebanyak RM32.4 juta.

Ia merupakan aliran masuk pertama direkodkan selepas sembilan minggu berturut-turut aliran keluar.

MIDF Research berkata, ketika pasaran dibuka semula pada Isnin lalu, pelabur asing menjual sebanyak RM74.3 juta ekuiti tempatan dengan pelabur runcit dan institusi tempatan menjadi pembeli bersih, masing-masing kepada RM4.16 juta dan RM70.1 juta.

Menurutnya, pelabur asing merupakan pembeli bersih setiap hari kecuali hari Isnin dan Rabu dengan aliran masuk terbesar direkodkan pada hari Khamis sebanyak RM58.9 juta dan terkecil pada hari Selasa sebanyak RM27.7 juta.

Aliran keluar terbesar pula pada hari Isnin sebanyak RM74.3 juta.

Bagi peruncit-peruncit pula, mereka adalah pembeli bersih setiap hari kecuali Rabu iaitu sebanyak RM49.6 juta dan paling kecil RM3.8 juta pada hari Selasa.

Jumlah aliran keluar yang direkodkan ialah RM15.7 juta, kata firma penarafan itu.

Secara kumulatif, pelabur runcit membeli sebanyak RM67.7 juta ekuiti di Bursa Malaysia.

Sementara itu, pelabur institusi tempatan merekodkan kumulatif aliran keluar mingguan sebanyak RM100.2 juta dengan pembelian bersih terbesar pada hari Khamis pada RM84.8 juta.

Satu-satunya penjualan bersih berlaku pada hari Jumaat sebanyak RM15.7 juta.

Sejak awal 2021, secara kumulatif, pelabur runcit adalah satu-satunya pembeli bersih pasaran ekuiti berjumlah RM6.3 bilion.

Manakala pelabur institusi dan pelabur asing pula merupakan penjual bersih masing-masing sebanyak RM3.0 bilion dan RM3.3 bilion.

Penyertaan pelabur runcit, institusi dan asing dalam nilai purata dagangan harian masing-masing meningkat kepada 38.5%, 41.0% dan 46.1%. – MalaysiaGazette