KUALA LUMPUR – Pelakon dan penerbit, Sharifah Aminah Syed Abdullah, 76, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kajang, dekat sini, pukul 6.40 pagi ini.
Berita sedih itu disahkan anak sulungnya, Wan Monaliza Jamali.
Wan Monaliza berkata, arwah ibunya yang berada dalam keadaan separuh koma sejak tiga tahun lalu mula sesak nafas selepas waktu Maghrib, semalam.
“Saya menghubungi hospital apabila arwah ibu mula sesak nafas. Apabila arwah terbaring dalam keadaan separuh koma, tidak dapat dipastikan apakah jangkitan yang berlaku.
“Cuma, segala-galanya terbatas dalam situasi semasa pandemik Covid-19. Malah, arwah ibu juga harus melakukan ujian calitan. Ia prosedur biasa yang harus dilalui bagi memastikannya positif atau sebaliknya,” katanya memetik laporan BH Online.
Wan Monaliza berkata, dia sebolehnya mahu mempercepatkan pengebumian.
“Kami merancang mengebumikan arwah di Tanah Perkuburan Islam, Sungai Kantan, Kajang, hari ini,” katanya.
Sebelum ini, Sharifah Aminah yang membintangi filem Mama Oh Mama dan Esok Untuk Siapa mengalami pendarahan otak dan serangan angin ahmar. Beliau rebah di sebuah restoran ketika menikmati makan malam bersama beberapa teman rapat pada September 2018.
Berikutan itu, Sharifah Aminah atau mesra disapa Kak Pah dikejarkan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan terlantar selama empat bulan.
Atas persetujuan bersama, anak-anak terpaksa menghantar Sharifah Aminah ke sebuah pusat jagaan warga emas di ibu kota. Bagaimanapun, Wan Monaliza tidak mampu membayar kos penjagaan ibunya sejak diberhentikan kerja dan membawa pulang ibunya ke rumah, tahun lalu.
Arwah meninggalkan dua cahaya mata dan tiga cucu. – MalaysiaGazette