KUALA LUMPUR – Penutupan kilang memproses ayam di Kawasan Perindustrian Masjid Tanah, Melaka akibat penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pekerja setakat ini tidak menjejaskan bekalan ayam.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengambil langkah-langkah perlu menilai kesan daripada penutupan sementara operasi syarikat yang merupakan salah satu kilang pemprosesan ayam yang membekalkan ayam proses dan produk-produk berasaskan ayam ke seluruh negara.
Pengarah Penguatkuasanya, Azman Adam berkata, berdasarkan maklumat, ayam-ayam yang diproses di kilang ini diedarkan melalui pasar raya besar, pasaraya, restoran dan premis-premis runcit terpilih sahaja.
Tiada bekalan ayam proses dan produk berasaskan ayam diedarkan dari syarikat ini kepada pasar-pasar basah.
Malah, dalam usaha meminimumkan kesan penutupan operasi ini, pihak syarikat akan mendapatkan bentuan dan kerjasama daripada kilang-kilang dibawah rangkaian syarikat yang sama bagi menjamin kesinambungan produk di dalam pasaran.
”Setakat ini, tiada sebarang aduan berkaitan bekalan ayam di pasaran yang diterima dari pengguna. Bekalan semasa ayam di pasaran adalah mencukupi.
”Pegawai-pegawai penguatkuasa KPDNHEP akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan untuk memastikan keberadaan dan kestabilan bekalan termasuk ayam,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau turut memberi amaran bahawa KPDNHEP tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mungkin menggunakan isu ini untuk menaikkan harga yang tidak munasabahah. – MalaysiaGazette