Home Nasional CAP gesa siasat projek ternakan udang di Juru

CAP gesa siasat projek ternakan udang di Juru

Kawasan ternakan udang di Juru, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang. Foto- Ihsan CAP

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Perikanan negeri dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyiasat projek ternakan udang yang menyebabkan pencemaran alam sekitar di Juru, Seberang Perai Tengah di sini.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, tindakan itu perlu diambil bagi memastikan pengusaha ternakan udang itu mematuhi peraturan yang ditetapkan ketika beroperasi.

Jelas beliau, tinjauan pihaknya mendapati sumber pendapatan kira-kira 200 nelayan pantai di Sungai Belanak dan Sungai Haji Din di sini terjejas berikutan kawasan tangkapan mereka disyaki tercemar dengan sisa buangan dari kolam ternakan udang berhampiran.

Keadaan di pintu air di mana sisa buangan kolam ternakan udang mengalir ke laut.

“Kesannya, udang serta ketam yang menjadi sumber tangkapan utama nelayan di sini, terancam dan semakin berkurangan.

“Jika dibiarkan berterusan, ia bukan sahaja menjejaskan mata pencarian nelayan tetapi juga sumber perikanan dan hutan paya bakau pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohideen, siasatan perlu dilakukan pihak berwajib ke atas sistem pembuangan sisa kolam yang dikhuatiri mengandungi bahan kimia.

“CAP berharap supaya agensi berkenaan membuat kajian khusus mengenai kesan projek berkenaan dan mendedahkan hasil yang diperoleh kepada orang ramai terutama golongan nelayan yang terkesan dengan aktiviti itu,” ujarnya. -MalaysiaGazette