KUALA LUMPUR – Sebanyak 21 Team Pemantau Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 diarah supaya sentiasa memantau pergerakan pengunjung di pusat membeli belah besar dan pasaraya di ibu kota berkuatkuasa hari ini.
Amaran itu menyusul susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (3.0) diperketatkan untuk sektor perdagangan dan peruncitan dengan setiap pengunjung atau pelanggan hanya dibenarkan berada di dalam premis maksimum selama dua jam sahaja.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, beliau juga menyarankan pengunjung supaya jangan sesekali mencuba taktik kotor mengimbas dan memasuki semula ke premis pasar raya untuk meluangkan masa di dalam premis sama.
“Kalau dia gunakan taktik begini keluar sekejap dan imbas masuk semula selepas dua jam kita boleh mengesan taktik dia.
“Kita boleh lihat rekod sejarah telefon bimbit kalau dia keluar selepas dua jam dan imbas serta masuk semula dalam beberapa minit. Itu salah dan boleh dikenakan tindakan kompaun RM2,000 jika ditangkap,” katanya kepada pemberita selepas meninjau sebuah pusat membeli belah barang borong terkenal di pusat bandar raya hari ini.
Turut bersama ialah Timbalannya Superintendan Naazron Abdul Yusof yang mendekati dan memeriksa setiap rekod imbasan MySejahtera pengunjung.
Zainal berkata, pengunjung perlu akur dengan arahan SOP Majlis Keselamatan Negara kerana kegagalannya boleh menyebabkan pengunjung dikompaun RM2,000.
“Dengan penguatkuasaan baharu ini, semua pusat membeli belah dan juga pasar raya di kawasan ibu negara ada dalam radar kita, pemeriksaan akan dilaksanakan setiap masa dan hari ini tempat tumpuan orang ramai,” katanya.-MalaysiaGazette