Home Nasional Kadar vaksinasi negara terus meningkat – Khairy

Kadar vaksinasi negara terus meningkat – Khairy

Coordinating Minister of the National Covid-19 Immunisation Programme (PICK) Khairy Jamaluddin AstraZeneca NPRA Sekhar Foundation
Khairy Jamaluddin Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Kadar vaksinasi negara menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan direkodkan tertinggi dengan sebanyak 95,000 dos sehari semalam.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kadar tersebut dijangka terus meningkat untuk mencapai sasaran 150,000 dos sehari pada Jun depan.

“Kadar vaksinasi negara mula meningkat iaitu mencecah 75,000 dos sehari. Rekod tertinggi ini dicatatkan semalam iaitu 95,000 dos sehari.

“Kadar ini akan meningkat untuk mencapai sasaran pada Jun iaitu sebanyak 150,000 dos sehari,” katanya pada sidang media Perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan Khairy berkata, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) akan memberi janji temu kepada lebih 5,000 petugas media daripada 144 agensi media yang berdaftar di negara ini untuk mendapatkan pelalian wabak dalam masa terdekat.

Menurut beliau, setakat ini pihaknya menerima sejumlah 5,867 nama petugas media.

“CITF buat keputusan untuk kita beri janji temu pengamal media secepat mungkin selepas terima butiran. Ini adalah selari (keputusan) untuk melindungi mereka di barisan hadapan dengan mendahulukan guru dan pengamal media,” ujarnya. – MalaysiaGazette