Home Nasional Kluster perkilangan catat jangkitan tinggi Covid-19 di Pulau Pinang

Kluster perkilangan catat jangkitan tinggi Covid-19 di Pulau Pinang

Kluster Perkilangan catat rekod tertinggi jangkitan Covid-19 di Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Kluster perkilangan masih mencatatkan rekod tertinggi jangkitan Covid-19 di Pulau Pinang.

Perkara itu ditegaskan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow susulan pertambahan dua laporan terbaru membabitkan sektor tersebut semalam.

Jelas Kon Yeow, pihaknya menjalinkan kerjasama dengan Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang berhubung saringan massa – ‘on-site pooled saliva RT-PCR screening’ selepas Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ‘berdiam diri’ berhubung program ‘Safe@Work’ yang sepatutnya bermula pada 1 April lalu.

“Hasil kerjasama dengan FMM, setakat ini seramai 538 individu telah disaring sejak Sabtu lalu.

“Sebagai tambahan, saya berharap sektor perkilangan/industri dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) peratusan penggiliran kerja terkini yang diumumkan.

“Usaha sama serta kesepakatan kita adalah penting dalam melandaikan lengkuk jangkitan serta mengelakkan kelumpuhan sektor perubatan negeri kita secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow turut memohon segerakan pemberian vaksin kepada mereka yang tersenarai dalam sektor perkilangan/industri serta di zon merah menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Untuk rekod, Pulau Pinang semalam mencatatkan 384 kes jangkitan Covid-19 membabitkan 306 rakyat tempatan manakala 78 individu bukan warganegara. – MalaysiaGazette