KUALA LUMPUR – Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu, kebanyakan peniaga dan usahawan terpaksa ‘mengikat perut’ dan ada antara mereka gulung tikar akibat terkesan dengan penularan pandemik Covid-19.
Memburukkan keadaan, ramai terjejas teruk apabila banyak syarikat terpaksa memberhentikan pekerja dan menutup operasi perniagaan.
Dalam tempoh mencabar ini golongan terjejas seharusnya tidak berputus asa, sebaliknya perlu mencari cara untuk terus meraih pendapatan.
Namun, situasi berbeza berlaku kepada wanita ini yang berani mengambil risiko untuk membuka klinik pergigian.
Bagaimanapun, keberanian itu bukan datang bergolek sebaliknya dengan kesungguhan, pengorbanan dan komitmen tinggi selain mahu menggunakan peluang bagi menjayakan perniagaan sendiri.
Dr Nurdini Abdulah yang kini merupakan Pengarah Klinik Pergigian Sparkle Puchong berkata, dia berdepan pelbagai cabaran sebelum kliniknya itu dapat beroperasi pada Oktober tahun lalu.
Wanita berusia 33 tahun itu memberitahu, dalam suasana negara berdepan pandemik, dia sanggup mengeluarkan modal permulaan yang besar untuk proses pengubahsuaian dan membeli peralatan mahal demi menjaga kualiti perkhidmatan di kliniknya.
“Malah, sejak permulaan Covid-19 pada Februari lalu, banyak institusi kewangan enggan memberikan bantuan kewangan, selain badan kerajaan berkaitan mengehadkan waktu operasi, sekali gus merencatkan pendaftaran klinik ini.
“Urusan lesen perniagaan terbantut beberapa kali disebabkan kakitangan badan terlibat dengan kerja dari rumah yang menyebabkan mesyuarat jawatankuasa pendaftaran bersidang dihadkan
“Pada masa sama, ketika pelaksanaan PKP 1.0 dan 2.0, operasi klinik ini telah menyukarkan pergerakan pesakit yang memerlukan janji temu, juga peringkat awal PKP 1.0 banyak bergantung kepada pesakit walk-in,” katanya ibu kepada dua orang anak ini.
Nurdini, graduan lulusan perubatan pembedahan gigi dari Universitas Airlangga, Surabaya di Indonesia bersyukur apabila semua rintangan itu dapat diharungi hingga mampu menjadi menjadi pemilik klinik pergigian yang jarang di kalangan wanita Melayu.
Jelas beliau, penampilan dalaman yang tenang dan segar hasil merupakan keunikan kliniknya.
“Pelanggan beritahu, hiasan dalam klinik macam hotel dan tidak seperti berada dalam klinik gigi. Malah kebiasaan klinik gigi berada di tingkat atas bangunan kedai berbanding klinik ini di tingkat bawah.
“Saya memilih bisnes klinik pergigian kerana saya adalah doktor gigi dan saya suka melihat gigi masyarakat sentiasa berada dalam keadaan terbaik,” kata anak kelapan daripada 10 beradik ini.
Mengenai perancangan masa depan, Nurdini memilik impian untuk membuka cawangan Sparkle di negeri lain dalam masa dua tahun lagi.
Dia juga mahu mewujudkan makmal pergigian sendiri dalam menawarkan perkhidmatan terbaik untuk orang ramai.
Sementara itu, Klinik Pergigian Sparkle Puchong kini menawarkan pelbagai perkhidmatan rawatan gigi pada harga mampu milik kepada orang ramai.
Antara rawatan tersebut adalah membedahan minor, gigi palsu, pendakap, mencuci dan memutihkan gigi. – MalaysiaGazette