Home Dunia PBB tuntut pembebasan Presiden Mali

PBB tuntut pembebasan Presiden Mali

Bah Ndaw dilaporkan ditahan tentera di Bamako. foto Agensi

BAMAKO – Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Mali menuntut pembebasan segera Presiden Bah Ndaw dan Perdana Menteri Moctar Ouane yang dilaporkan ditahan oleh tentera.

Dalam ciapannya, misi Minusma juga meminta penduduk di Afrika Barat yang miskin itu ‘bertenang’.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas laporan memaklumkan peralihan Presiden Ndaw dan Ouane oleh tentera ke sebuah kem tentera berhampiran ibu kota, Bamako.

Ini menimbulkan ketakutan berlaku rampasan kuasa kali kedua dalam setahun di negara ini.

Penahanan ini dilaporkan berlaku beberapa jam selepas rombakan pemerintah, yang menyaksikan dua pegawai kanan tentera yang mengambil bahagian dalam rampasan kuasa tahun lalu diganti.

Sekali lagi Mali kelihatan tidak stabil hanya sembilan bulan selepas rampasan kuasa tentera yang menyaksikan Presiden Ibrahim Boubakar Keïta dipecat dari pejabat, lapor BBC.

Rampasan kuasa sebelumnya berlaku pada tahun 2012 menyebabkan pejuang Islam mengeksploitasi ketidakstabilan untuk merebut wilayah di Mali utara.

Pasukan Perancis membantu mendapatkan kembali wilayah, tetapi serangan tetap berlaku. – MalaysiaGazette