Home Ekonomi PKP menyeluruh jejaskan momentum pertumbuhan ekonomi

PKP menyeluruh jejaskan momentum pertumbuhan ekonomi

Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Momentum pertumbuhan ekonomi negara akan terjejas seperti yang berlaku dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 jika total lockdown dilakukan sehingga 7 Jun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata,  PKP sepenuhnya (total lockdown) akan menyebabkan kadar penggangguran meningkat dengan mendadak, bilangan isi rumah miskin akan bertambah, prestasi syarikat kecil dan besar akan terjejas dan kedudukan fiskal akan berada dalam keadaan yang lebih mencabar.

Menurut beliau, semasa libat urus dengan wakil-wakil industri, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta persatuan-persatuan penjaja pada 22 dan 23 Mei 2021, sebahagian besar daripada mereka bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk melaksanakan PKP 3.0.

Jelasnya, kerajaan perlu sentiasa mengimbangkan antara nyawa dan kehidupan.

Lantaran itu, keputusan untuk melaksanakan PKP 3.0 dengan prosedur operasi standard yang lebih ketat adalah tepat, tambah beliau pada sidang media secara maya mengumumkan prestasi Indeks Pelopor (IP) bagi bulan Mac 2021 di sini hari ini.

Pada Mac 2021, IP mencatat pertumbuhan yang lebih kukuh pada 17.3 peratus, berbanding dengan peningkatan sebanyak 8.2 peratus pada Januari dan 8.6
peratus pada Februari 2021.

Prestasi yang baik ini adalah selaras dengan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar pada Mac 2021 sebanyak 6.0 peratus. – MalaysiaGazette