Home Nasional Polis Kuantan, Kemaman pastikan lorong tikus tidak dibolos

Polis Kuantan, Kemaman pastikan lorong tikus tidak dibolos

Polis Kuantan dan Kemaman berganding bahu mengawal SJR sempadan negeri Pahang dan Terengganu

KUANTAN – Ketua Polis Daerah Kuantan dan Kemaman berganding bahu dalam menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dengan mengenal pasti lorong tikus yang cuba dibolosi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kolaborasi dua daerah ini merupakan sinergi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengutamakan keselamatan penduduk.

Tambahnya, usaha murni ini menguntungkan kedua-dua daerah, yang mana sedang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) bagi Kemaman.

Meskipun begitu, wartawan MalaysiaGazette yang menyertai tinjauan Ketua Polis Daerah Kuantan dan Kemaman di lorong-lorong tikus mendapati masih ada individu yang cuba membolosinya.

Namun, mereka terpaksa berpatah balik apabila melihat kelibat polis.

“Kita sudah kenal pasti semua jalan tikus dan ia tidak boleh dibolosi mana-mana individu. Semua ini dapat dilaksanakan hasil kerjasama yang dibuat bersama Polis Daerah Kemaman.

“Sekatan jalan raya (SJR) yang dilakukan bukan untuk menyusahkan mereka, tetapi adalah keadah terbaik bagi mengawal penularan Covid-19,” kata Mohamad Noor.

Sementara itu, dalam tempoh kurang 48 jam pelaksanaan PKPD di daerah ini, polis Kuantan telah mengeluarkan lapan notis kepada individu yang melanggar SOP.

“Notis kompaun itu membabitkan pelbagai kesalahan melanggar SOP seperti tidak memakai pelitup muka dan berhimpun di premis perjudian.

“Walau bagaimanapun sebahagian besar warga Kuantan memberikan kerjasama yang baik dan mematuhi SOP ditetapkan sepanjang pelaksanaan PKP dan PKPD.” katanya.

Manakala Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramli berkata, pihaknya sudah mengeluarkan 27 kompaun kepada penduduk di sempadan di Chendor dan Chukai. – MalaysiaGazette