Home Nasional Polis Shah Alam luaskan operasi pematuhan di kilang, tapak bina

Polis Shah Alam luaskan operasi pematuhan di kilang, tapak bina

ACP Baharudin Mat Taib

SHAH ALAM – Polis akan meluaskan operasi penguatkuasaan pematuhan kepada sektor perkilangan dan tapak bina di Shah Alam, susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang diperketatkan bermula 12 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, ia bagi memastikan kedua-dua sektor swasta itu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) termasuk jumlah pekerja yang bekerja dari rumah sehingga 40 peratus.

“Tumpuan kita kali ini (pemantauan) kepada tapak-tapak pembinaan dan juga kilang-kilang.

“Sebelum ini, pasukan pematuhan kita tak gerak ke kilang-kilang. Sejak PKP kali ini, kita kena pastikan kilang-kilang mematuhi SOP baharu khususunya jumlah pekerja yang bertugas.

“(Kita nak pastikan) berapa peratus yang boleh bekerja (di kilang) termasuk pihak pengurusan,” katanya ketika ditemui di Sekatan Jalan Raya (SJR) di Plaza Tol Shah Alam-Bukit Jelutong, hari ini.

Sabtu lalu, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan SOP baharu dalam pelaksanaan PKP 3.0, antara lain hanya seramai 80 peratus atau lebih 750,000 kakitangan awam akan bekerja dari rumah.

Menurutnya, bagi sektor sektor swasta pula kira-kira 40 peratus atau bersamaan kira-kira 6.1 juta pekerja turut akan bekerja dari rumah.

Sebanyak 315 kilang dalam daerah Shah Alam dikenal pasti dan terlibat dalam operasi pematuhan PKP 3.0 yang lebih ketat berkuatkuasa hari ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 181 premis premis kilang terletak dalam kawasan Bukit Jelutong, Sri Muda (110) dan Seksyen 16 (24).

Bagi tujuan itu juga, Polis Shah Alam turut menjalinkan hubungan dan kerjasama dengan pengusaha-pengusaha kilang melalui Program Pemantauan Kejiranan dengan kerjasama Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM).

“Sebelum ini, kita ada jalin kerjasama dengan pengusaha-pengusaha kilang dan pemaju di tapak pembinaan.

“Melalui program-program ini kita nak memastikan mereka ini mematuhi SOP dan setakat ini kilang-kilang di Shah Alam patuh SOP kerajaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette