KUALA LUMPUR – Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, beliau lambat mengetahui tentang tragedi dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) bertembung berhampiran Stesen KLCC malam tadi.
Katanya, petang semalam beliau menghadiri satu tugasan di Subang dan lambat mendapat maklumat mengenai kejadian tersebut.
Bagaimanapun, menurut Tajuddin, kesemua pihak yang berkenaan termasuk Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong telah segera turun ke lokasi dan pegawai Prasarana berada di hopsital memantau keadaaan sehingga jam 2 pagi.
“Oleh itu saya memang sudah merancang untuk datang ke lokasi seawal pagi, itu menunjukkan saya memang serius dan pagi-pagi saya sudah turun masuk terowong,” katanya yang dijadual mengambil dos kedua vaksin Covid-19 hari ini.
Tajuddin turut melahirka rasa kesal apabila ada pihak cuba membangkitkan provokasi dengan membuat desakan supaya beliau meletakkan jawatan berikutan kejadian tersebut semata-mata kerana beliau tidak berada di lokasi kejadian malam tadi.
“Saya tidak suka provoke, bertenanglah. Paling penting kita mengambil berat tentang penumpang dan tidak mengabaikan tanggungjawab kita,” katanya.
Dalam kejadian malam tadi seramai 213 penumpang mengalami kecederaan dan 64 daripadanya dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Buat masa ini enam penumpang kritikal dan tiga daripadanya menggunakan alat bantuan pernafasan. – MalaysiaGazette