Home Nasional Suami isteri proses dan edar dadah dicekup

Suami isteri proses dan edar dadah dicekup

Pasangan suami isteri antara tiga suspek ditahan proses dan edar dadah di ibu negara dan Negeri Sembilan sejak enam bulan lalu tumpas.

KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri antara tiga suspek yang ditahan dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dalam satu operasi di sekitarĀ ibu negara dan Port Dickson, Negeri Sembilan pada Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, suspek lelaki warga tempatan berusia 34 tahun ditahan dalam operasi JSJN Kuala Lumpur serta Negeri Sembilan di tempat letak kenderaan di sebuah kondominium di pusat bandar pada jam 5.49 petang.

“Soal siasat ke atas suspek pertama itu kemudian berjaya membawa polis kepada serbuan kedua di sebuah rumah di Taman PD Seraya, Port Dikson, Negeri Sembilan.

“Hasil pemeriksaan di rumah itu polis berjaya menahan dua lagi individu yang merupakan pasangan disyaki terlibat dalam perniagaan pengedaran dadah,” katanya menerusi kenyataan di sini.

Tambah beliau pasangan suami isteri yang terlibat kegiatan pengedaran dadah itu adalah berusia 49 dan 40 tahun.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut di rumah pasangan itu polis merampas dadah jenis syabu seberat 1.14 kilogram, serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 4.70 kg dan pil ekstasi seberat 1.72 kg selain wang tunai RM515.

“Berpandukan maklumat pasangan itu dan rampasan barang terlarang dari mereka, pasukan polis melakukan satu lagi serbuan di sebuah hotel di Jalan Seremban, Port Dickson.

“Hasil serbuan dan pemeriksaan lanjut di bilik hotel polis berjaya menemui pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk memproses dadah.

“Keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM424,388 itu boleh dibekalkan kepada 7,554 penagih,” ujarnya.

Siasatan lanjut polis mendapati pasangan suami isteri itu menyewa rumah di Port Dickson dengan bayaran sewa RM1,500 sejak enam bulan lalu dan terlibat dengan pemprosesan dan pengedaran syabu.

Tangkapan suspek terbabit menjadikan polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi warga tempatan yang dikesan aktif di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan.

“Semua suspek direman selama tujuh hari bermula 21 hingga 27 Mei ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” tegasnya.-MalaysiaGazette