KUALA LUMPUR – Tempoh operasi dan kaedah perkhidmatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM) akan dihadkan dan disusun mengikut kesesuaian semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
LHDNM di dalam kenyataan hari ini berkata bagi Kaunter Setempat (Perkhidmatan Percukaian) serta Kaunter Bantuan Khas Kerajaan akan ditutup dan pembayar cukai serta pelanggan boleh menggunakan perkhidmatan dalam talian.
Bagaimanapun, bagi pembayar cukai dan pelanggan yang perlu hadir ke kaunter, mereka wajib membuat janji temu terlebih dahulu dengan menghubungi Pejabat Pengarah Negeri atau Pengarah Cawangan atau Customer Care Officer (CCO) cawangan LHDNM.
Urusan bagi Kaunter Duti Setem (Pejabat Setem Cawangan, Pejabat Satelit dan Pusat Khidmat Hasil) juga masih dibuka kepada pelanggan dan Pembayar Duti Individu tidak boleh mendaftar sebagai pengguna Stamp Assessment And Payment System (STAMPS) sahaja.
Manakala pembayar duti selain individu (Ejen STAMPS) diwajibkan untuk mengemukakan permohonan dan bayaran secara dalam talian melalui STAMPS.
LHDNM berkata, waktu operasi kaunter adalah berdasarkan hari bekerja di setiap negeri iaitu pada pukul 8 pagi hingga 1tengah hari danpenerimaan bayaran sehingga jam 12 tengah hari sahaja.
Kenyataan itu turut menyatakan bagi Kaunter Pusat Bayaran di Pusat Bayaran Kuala Lumpur, Pusat Bayaran Kota Kinabalu dan Pusat Bayaran Kuching, waktu operasi sepanjang PKP 3.0 adalah pada Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.00 pagi hingga 12 tengah hari.
Bagi Kaunter Pusat Bayaran di Pusat Bayaran Kuala Lumpur, Pusat Bayaran Kota Kinabalu dan Pusat Bayaran Kuching, waktu operasi sepanjang PKP 3.0 juga tertakluk pada waktu operasi.
Bagi bayaran tunai dan cek boleh dibuat untuk cukai pegangan, seniman kembara, cukai keuntungan harta tanah oleh pemeroleh serta bayaran kompaun.
Sementara bayaran menggunakan kad kredit dan kad debit boleh dibuat untuk cukai pendapatan dan lain-lain cukai.
LHDNM berkata, bagi perkhidmatan lain, hanya melalui janji temu sahaja pada hari Isnin hingga Jumaat.
Talian pejabat akan berfungsi seperti biasa dengan waktu operasi terhad.
Bagi Hasil Care Line (Pusat Panggilan dan Live Chat) waktu operasinya adalah Isnin hingga Jumaat bermula 9 pagi hingga 5 petang dan bagi ibu pejabat atau cawangan LHDNM pada jam 8 pagi hingga 4 petang, berdasarkan hari bekerja di setiap negeri.
Tambahnya, perkhidmatan di kaunter-kaunter LHDNM dalam tempoh ini akan dihadkan kepada pelanggan-pelanggan yang berisiko rendah sahaja berdasarkan kepada aplikasi MySejahtera
LHDNM juga menasihatkan para pelanggan membuat semakan senarai pejabat dan cawangan LHDN yang ditutup sementara terlebih dahulu sebelum hadir ke mana-mana premis bagi mengelakkan sebarang kesulitan. – MalaysiaGazette